
Dalam contoh-contoh diatas, satu perkara yang tidak dapat kita elakkan semasa meletakkan jangkaan atau harapan apa yang ingin kita capai ialah masa atau tempoh. Ini bermaksud, kita mendapati agak sukar mencapai sesuatu kejayaan jika kita tidak meletakkan tempoh masa yang bersesuaian bilakah sesuatu kejayaan yang kita idamkan itu akan menjadi kenyataan.
Apabila kita merancang untuk memperolehi sesuatu kejayaan dalam sesuatu tempoh jangka masa yang kita tetapkan, kita sebenarnya menjangka bahawa kejayaan itu boleh kita capai. Kita juga sebenarnya telah mengambil kira semua faktor yang boleh mempengaruhi pencapaian matlamat kejayaan itu.
Bagi pekedai runcit yang ingin mendapatkan keuntungan bersih RM150 sehari tentulah telah memikirkan serta mempertimbangkan segala kemungkinan yang boleh mendorong atau membantu di samping kemungkinan-kemungkinan yang mengganggu usaha ke arah pencapaian matlamat yang dijangka.
Apabila kita menjangka akan mencapai sesuatu kejayaan dalam tempoh masa tertentu, kita hendaklah sentiasa memantau tindakan dan usaha kita ke arah kejayaan tersebut. Dalam usaha mendapatkan sesuatu kejayaan, kita juga harus ingat bahawa kejayaan tidak semudah yang kita jangkakan. Sering juga berlaku insiden-insiden yang tidak dijangkakan pada saat-saat akhir kejayaan akan menjengah. Hal ini sudah tentu akan membantut atau menggugat usaha seterusnya ke arah kejayaan.
Namun, bagi individu yang cekap mengurus keadaan akan menggemblengkan segenap daya yang ada padanya bagi meneruskan usaha ke arah kejayaan. Inilah sifat individu yang cemerlang sebenarnya. Dia mampu dan berupaya mengubahsuai dirinya selaras dengan tuntutan keadaan pada masa-masa kritikal. Inilah ciri-ciri keistimewaan yang ada pada diri individu luar biasa yang tidak ada pada individu biasa.
Pada hakikatnya, setiap individu biasa mampu melonjak ke puncak kejayaan jika ia mahu. Sejarah perjuangan hidup orang-orang yang telah mencapai kejayaan besar dalam hidup mereka membuktikan kebenaran kenyataan di atas.
Kesimpulannya, jika kita mensasarkan sesuatu kejayaan yang ingin dicapai, kita harus dapat membuat jangkaan yang tepat berasaskan kemampuan atau keupayaan serta kebolehan diri sendiri di samping asas kefahaman yang mendalam tentang lingkungan dunia kehidupan kita sendiri.
Ainurjah: 15 Sept 2011
Read more...










