Subscribe:

Thursday, September 8, 2011

Makna Kegagalan dan Bagaimana Menguruskannya

1. Makna Kegagalan

Kegagalan amat berkait rapat dengan kejayaan. Ini bermaksud, dalam perjalanan menuju kejayaan, kita akan menempuh pelbagai kegagalan. Dengan perkataan lain, kegagalan dan kejayaan laksana mata hitam dan mata putih. Bagitu akrab sekali perkaitan antara keduanya. Ada juga yang menganggap bahawa kegagalan dan kejayaan bagaikan malam dan siang. Apabila tirai siang menyingkap, maka menyepilah malam. Begitulah sebaliknya, apabila malam berlabuh, maka menyisihlah siang.

Terjadinya siang dan malam adalah satu fenomena alam ciptaan Tuhan. Pun begitu dengan fenomena kehidupan kita yang tidak pernah terlepas daripada kegagalan jika kita menghendaki kejayaan. Pernahkah anda terjumpa dengan mana-mana orang yang berjaya tanpa menempuh kegagalan? Kalau ada orang yang mencapai kejayaan tanpa pernah mengalami kegagalan, orang itu merupakan individu yang ‘super hebat’. Lumrahnya, tidak ada orang yang mencapai puncak kejayaan tanpa pernah terjatuh ke dalam jurang kegagalan.. Itulah hakikat kehidupan.

Jurang kegagalan? Billi P. S. Lim (1996) yang menulis buku berjudul “Dare To Fail” yang telah diterjemahkan dalam bahasa Malaysia yang cukup laris jualannya itu menyatakan bahawa ketika anda berada di lembah kegagalan, barulah anda akan melihat puncak kejayaan. Lazimnya apabila kita dilanda badai kegagalan, kita akan rasa kecewa, lemah, tidak bermaya dan tertekan. Sebenarnya, apa yang ingin penulis buku tersebut sarankan ialah bahawa orang-orang yang sedang mengalami kegagalan harus bangun semula dengan semangat baru demi memburu puncak kejayaan.

2. Bagaimana Menguruskan Kegagalan

Oleh kerana kegagalan tidak dapat dielakkan, mari kita belajar bagaimana hendak menguruskan kegagalan.

a. Ubah Sikap Anda

Mula-mula sekali sikap lama kita terhadap kegagalan haruslah diubah. Kegagalan haruslah dilihat sebagai kawan bukan sebagai musuh kejayaan. Walaupun kita tidak meminta kegagalan, namun apabila kegagalan datang menjengah, kita harus bersifat berlapang dada. Tidak ada apa-apa yang perlu kita risaukan jika kita gagal kerana kegagalan ialah guru kepada kejayaan.

b. Baiki Kesilapan

Anda harus belajar daripada kegagalan agar kita tidak mengulangi kegegalan yang sama pada masa-masa mendatang. Setelah anda menjerit dengan berkata “Eureka! Saya sudah kenal pasti kesilapan saya”, anda harus segera mengambil tindakan untuk membetulkan kesilapan tersebut. Semak balik perancangan dan tindakan anda. Buat kajian kenapa anda telah melakukan kesilapan. Perbetulkan kesilapan itu tanpa tangguh-tangguh. Jika anda buntu tentang bagaimana hendak membetulkan sesuatu kesilapan, rujuklah kepada orang-orang yang lebih mengetahui. Contohnya, seperti orang-orang yang pakar dan mahir dalam sesuatu bidang selaras dengan bidang kejayaan yang ingin anda capai.

c. Lupakan Kegagalan Setelah Kesilapan Dibaiki

Janganlah biarkan kegagalan menghantui pemikiran dan membelenggu hati anda. Usah diingat-ingat lagi akan kegagalan masa lalu. Jangan biarkan duri-duri kegagalan menusuk-nusuk di benak dan hati anda sehingga anda menjadi lemah longlai dan tidak bermaya untuk meneruskan kehidupan.

Saya pernah terjumpa seorang jejaka yang putus cinta. Dia memberitahu saya bahawa dunia kehidupannya sudah gelap. Saya cepat mengerti maksud kata-katanya itu kerana saya pun telah pernah melalui pengalaman putus cinta, bukan sekali, malah sebanyak tiga kali. Lantas, saya cakap padanya, “Come-on dik! Bunga bukan sekuntum. Kalau sudah bukan rezeki kamu, apa lagi yang boleh kamu buat. Tuhan lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Pasrahlah! Terimalah segala ketentuan dengan dada yang lapang. Satu hari nanti, Dia akan berikan yang lebih baik. Bersabarlah!”

Saya juga menyatakan padanya, “Yang penting sekarang, kamu semak balik di mana kamu telah buat silap yang menyebabkan teman kamu sudah hilang kepercayaan kepada kamu. Kemudian betulkan kesilapan itu agar tidak berulang pada masa depan.”

Kesimpulannya, kalau anda gagal dalam mencapai sesuatu kejayaan, anggaplah kegagalan itu sebagai batu loncatan untuk anda membuat lonjakan seterusnya ke puncak kejayaan. Jika anda tidak dapat apa yang anda idamkan, anggaplah itu bukan rezeki anda. Ingatlah bahawa tidak semua yang kita inginkan akan menjadi milik kita. Kita hanya perlu merancang, berusaha dan berdoa. Di sana ada kuasa penentu yang sentiasa mengatur kehidupan semua makhluk di atas muka bumi ini termasuklah manusia.

Ainurjah: 8 Sept 2011

0 comments:

Post a Comment