Subscribe:

Saturday, June 25, 2011

Najwa Oh Najwa


Kau sungguh kejam, Najwa. Aku dihukum tanpa bicara. Tergamak kau melayan aku sehina itu. Aku cuma ingin bertanya kenapa kau terlalu prasangka terhadap diriku. Itu saja...

Najwa! Kau terlalu negatif terhadap diriku. Kau fikir asalkan ada orang lelaki mengutus surat padamu, pasti orang itu menagih cintamu. Belum pun surat aku kau baca, kau sudah membuat kesimpulan yang salah itu. Berminggu lamanya aku menyimpan surat itu. Ini kerana setiap kali surat itu hendak kuberikan padamu, hatiku sangsi...


Pagi Jumaat yang lalu, aku bertekad menyampaikan surat itu padamu. Namun, saat-saat aku hendak mengeluarkan surat itu, hatiku tiba-tiba berbolak-balik. Langsung tak jadi aku hendak berikan padamu. Aku takut kau fikir bukan-bukan terhadap diriku...

Najwa! Segala sangkaanku menjadi kenyataan kini. Yang paling aku kesalkan ialah kau langsung tidak membaca surat itu. Menurut kata kau, surat itu telahpun kau bakul-sampahkan. Itulah yang amat kukesalkan...

Najwa! Aku tidak akan menyesal jika kau baca dulu surat itu. Kau cuba selami dulu maksud yang tersirat di sebalik yang tersurat. Lepas itu, kau nak buat apa pun dengan surat itu terpulanglah. Ini tidak! Kau terus humbankan surat tak berdosa itu bagaikan sampah yang tidak bernilai. Segala jerih perih aku memerah otak menyusun kata untuk disajikan padamu seolah-olah langsung tidak berharga...

Najwa! Itulah tujuan aku hendak berjumpa kau pagi kelmarin. Aku ingin mendapat kepastianmu, kenapakah kau menaruh sangka buruk terhadap diriku. Tetapi kau sedikit pun tidak memberi aku peluang untuk menjelaskan duduk perkara. Kau terus berlalu begitu saja tanpa mempedulikan aku. Begitu terhina aku rasakan dengan sikap kau seperti itu. Kenapa Najwa? Kenapa?...

Najwa! Salahkah aku memberi surat itu padamu? Salahkah aku menyatakan bahawa kau adalah seorang wanita yang lembut tingkah laku, halus budi pekerti, lunak suara dan manis kata-kata? Berdosakah aku menganggap kau sebagai wanita pertama yang aku temui dengan segala sifat kelembutan yang aku cari-cari selama ini?...

Najwa! Meskipun aku kau perlakukan begitu rupa, namun aku tetap percaya bahawa kau tidak bermaksud hendak menghina aku. Jauh sekali untuk membenci aku, kan?...

Najwa! Tuhan telah mempertemukan kita. Aku dari utara dan kau dari selatan. Terimalah hakikat bahawa segalanya dalam perancangan Allah. Kenapakah kau hendak nafikan hakikat itu? Kita tidak pernah merancang hendak bertemu di kota raya ini. Tuhan itu Maha Pengatur serta Maha Perancang. Tak baik kita menolak perancangan Allah. Mungkin ada hikmah di seblik pertemuan ini...

Najwa! Apa pun, melalui surat kedua ini, aku ingin memohon sedikit simpatimu. Bacalah surat aku ini hingga ke noktah penghabisan. Aku cuma ingin bertanya sama ada kau sudi menerima aku sebagai kawan ataupun tidak. Itu saja. Tak lebih daripada itu. Sesungguhnya aku tidak meletakkan harapan lebih jauh daripada itu. Aku telah bersedia untuk menerima sebarang risiko dengan menulis surat kedua ini. Hal yang sama juga telah kunyatakan dalam surat aku yang pertama itu...

Najwa! Aku sentiasa berdoa pada Allah agar kau diberi kelapangan minda dan hati untuk sekurang-kurangnya membaca surat aku kali ini. Janganlah pula surat yang kedua ini menerima nasib yang sama sepertimana suratku yang pertama dulu...

Najwa! Selepas kau tatapi suratku ini, kau bebas untuk ambil sebarang keputusan. Aku pasrah menerima segala risiko. Jika Allah mengizinkan hubungan persahabatan ini terjalin, aku sungguh bersyukur. Tapi jika tidak, apalah daya aku. Pasti aku akan terasa sedih nanti. Namun, sesungguhnya kasih dan sayang itu milik Allah jua. Perasaan benci pula adalah milik manusia yang lemah seperti kita....

Apa pun, aku menanti jawapan daripadamu. Wassalam.

Yang ikhlas,

Karim

Surat kedua itu Karim baca dan ulang baca lagi. Kemudian, perlahan-lahan surat itu dilipatkan. Lalu dimasukkan ke dalam sampul berbelang tepi merah biru berukuran 4 x 9 sm. Setelah digam pada penutupnya, surat itu dimasukkan ke dalam beg kerjanya. Pagi esok surat itu akan diposkan pada Najwa, orang yang dipujanya dalam diam-diam sejak pertama kali bertemu. Najwa pasti akan membacanya kali ini. Karim begitu yakin atas perhitungan akalnya sendiri.

Jam di dinding berdetap dua belas kali. Karim merebahkan badannya di atas katil. Dia ingin rehat secukupnya malam itu. Seharian bekerja di kedainya amat memenatkan. Ibunya sudah lama dilamun mimpi. Sememangnya menjadi tabiat ibu Karim tidur awal agar dapat bangun awal pagi untuk menunaikan solat tahajud dan solat-solat sunat yang lain di samping bermunajat pada Ilahi.

“Enam amalan harian yang amat dituntut bagi setiap orang yang bertaqwa ialah mengerjakan solat berjemaah, qiamullail, zikrullah, membaca sekurang-kurangnya seratus potong ayat Alquran, bersedekah dan bertahlil.” Demikian pesan ibu Karim acap kali.

Begitu akur Karim mendengar peringatan ibunya. Namun, peringatan tinggal peringatan cuma. Melakukannya, jarang-jarang sekali. Besedekah, kerap jugalah. Tetapi amalan lain belum lagi menjadi kebiasaan. Istiqamahnya masih rendah.

Dulu, Karim pernah bekerja makan gaji dengan kerajaan. Tetapi hasratnya untuk bekerja sendiri tidak pernah lekang dari fikirannya. Akhirnya, selepas sepuluh tahun bekerja, Karim berhenti. Dia ingin mengusahakan perniagaan menjual alat tulis dan peralatan pejabat di samping perkhidmatan fotostat dan menjilid.

Terbayang jelas di benaknya kata-kata ibunya semasa hendak menyerahkan notis sebulan gaji pada ketua pejabatnya empat tahun lalu.

“Sedap-sedap bekerja dengan kerajaan, dah nak berhenti pula. Buat apa kau belajar sampai ke universiti kalau setakat nak berniaga kecil-kecilan saja. Lebih baik aku tak jualkan tanah pusaka arwah ayah kau tu dulu semata-mata kerana hendak menampung perbelajanjaan kau belajar di universiti.”

Respon Karim ketika itu ialah berdiam diri. Itulah tindakan yang paling baik. Tak berani Karim hendak menyatakan apa-apa. Ketika itu perasaannya sendiri bercampur baur antara berjaya dengan tidak dalam busines yang bakal diceburinya. Cuma keyakinan diri yang tinggi saja yang membuat Karim bertekad benar untuk mengusahakan perniagaan sendiri.

Perniagaan Karim bertambah maju dari sehari ke sehari. Itupun berkat ketabahannya mengharungi segal pahit maung terutamanya dalam tempoh enam bulan pertama. Petua seorang rakan perniagaan berbangsa Cina padanya sedikit masa dulu amat dihargainya. Menurutnya jika kita dapat menempuh tempoh enam bulan pertama perniagaan kita, kita akan berjaya dalam perniagaan yang kita ceburi.

Mula-mulanya Karim kurang faham dengan maksud petua rakannya itu. Rupa-rupanya itulah tempoh yang paling mencabar. Setiap hari tidak menjamin keuntungan. Karim terpaksa mengeluarkan modal yang baru selang dua atau tiga hari. Keuntungan sukar dikira. Hari-hari yang berlalu selama tempoh tersebut dihitung bersama kerugian yang nyata. Mana tidaknya? Hasil jualan jarang mengatasi modal yang dikeluarkan. Waktu itu, kalau hatinya kurang sabar, pasti sudah lama gulung tikar.

Alhamdulillah! Perniagaan Karim dapat bertahan sehingga sekarang. Semakin bertambah maju nampaknya. Pun begitu, dia tidak terlalu ghairah. Pesanan rakannya tadi sentiasa segar dalam ingatannya. Apabila busines mula nampak menjadi, jangan gelap mata. Jangan hendak fikir beli itu, beli ini. Hendak tukar kereta baru, besarkan premis kedai dan seumpamanya. Itu semua karut, kata kawannya lagi.

Apa yang lebih penting ialah menambah kapasiti modal pusingan. Barang jualan mesti sentiasa penuh. Semua item disemak kalau-kalau ada yang kehabisan stok. Mesti diisi segera. Mana tahu kalau-kalau ada pelanggan mencari sesuatu item keperluan. Tiba-tiba barang itu habis. Bukankah itu menyusahkan pelanggan?

Sistem fail rekod belian dan jualan barangan mestilah kemas dan sistematik. Baucer bayaran yang dikemukakan oleh pembekal, mestilah dilunaskan segera. Jangan ada hutang yang tertunggak pula. Jika bayaran dibuat dengah cek, pastikan duitnya mencukupi dalam simpanan di bank. Jangan timbul kes cek tendang. Imej nama kedai mesti dijaga.

Bertahun-tahun lamanya Karim menguruskan businesnya tanpa hati yang resah seresah sekarang. Kenapakah harus Karim lalui gelombang rasa sehebat ini? Kalau tidak diketemukan dengan Najwa, bukankah bagus. Tidaklah dia terdera seperti sekarang. Sudah tu, orang tak layan pun masih mahu mencuba lagi. Kenapakah dia jadi begitu? Perasaan apakah yang sedang melanda dirinya? Mungkinkah ini satu lagi dugaan dan cabaran yang harus Karim tempuhi?

“Kerja kat mana?” Terpacul keluar pertanyaan itu dari mulut Karim ketika menyingkap tirai perbualan sebagai petanda awal perkenalan dengan Najwa dua minggu yang lepas.

“Kat Wisma Damansara. Jabatan Pembetungan,” jelas Najwa.

“Eh, eh! Ada pejabat keranjaan ke kat wisma tu?” soal Karim merancakkn lagi perbualan.

“Ada,” jawab Najwa, ringkas.

Perbualan mati di situ. Karim mencari-cari patah-patah kata yang hendak diajukan pada Najwa. Namun tiada yang ternukil di benaknya.

Bas Intrakota WP 2 yang membawa pekerja ke Pusat Bandar Damansara meluncur laju membelah keheningan pagi yang dingin. Najwa yang duduk di sebelah Karim nampak selamba saja. Sedangkan dada Karim bagaikan dilanda badai. Hatinya berdebar-debar. Tidak tahu kenapa. Sekali sekala sempat juga dia menjeling Najwa dengan ekor matanya. Ayu sungguh gadis ini, bisik hati kecilnya. Selama empat tahun belajar di universiti, tidak pernah diketemui gadis secantik Najwa. Terpukau Karim dibuatnya. Hatinya terus berdetap kencang sekencang bas yang dipandu oleh pakcik drebar warga Indonesia itu.

Setibanya di hentian bas depan Wisma Damansara, Najwa turun bersama beberapa orang pekerja lain. Sekilas Najwa menoleh lalu melambai tangan halusnya pada Karim. Senyuman yang menguntum di wajahnya mengiringi lambaiannya. Karim terkedu. Jari jemarinya tidak terangkat untuk membalas lambaian Najwa. Damainya hati Karim di pagi yang penuh syahdu itu, dia saja yang rasa.

Begitulah berlalunya babak perkenalan buat kali pertama dengan Najwa, gadis dari daerah Machap, Johor. Hari-hari yang menyusul, perhubungan yang terjalin menjadi semakin rapat. Karim tertawan dengan lentur budinya, liuk lintuk lenggangnya serta alunan bahasa ynag diucapkannya. Semuanya memikat hati Karim. Lantas hati kecilnya menyimpul bulat satu kata putus yang muktamad bahawa inilah dia gadis yang dicari-carinya selama ini. Begitu serasi dia dengannya. Karim amat menyenanginya.

Itulah yang membuat Karim mengambil keputusan yang nekad bahawa dia akan menyatakan pada Najwa secara jelas akan hasratnya untuk berkawan dengan gadis pingitan itu. Karim tidak akan terburu-buru untuk meluahkan rasa cintanya pada Najwa. Mana tahu kalau-kalau Najwa sudah berpunya. Kecewa dia dibuatnya nanti. Malu besar kalau Najwa sudah benar-benar berpunya. Di mana hendak diletak muka tak malunya. Bak kata orang, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong pula.

Suatu pagi yang damai, di kafeteria tingkat bawah Wisma Damansara. Najwa sedang menikmati keenakan rasa kopi Red Guara di hadapannya.

“Itulah kau. Gopoh sangat. Ikut emosi sangat. Entah-entah orang itu jujur. Bertujuan baik hendak berkenalan dengan kau,” leter kawan Najwa sejak dua hari yang lepas. Sampai hari ini pun perkara yang sama juga yang dirungutkan.

“Menyesal aku tidak beri peluang padanya menyatakan hasrat hatinya pagi itu,” keluh Najwa.

“Sesal kemudian tiada gunanya, kawan. Sejak hari itu sampai ke hari ini, sudah seminggu dia tidak naik bas bersama kita macam selalu. Di mana kau nak cari dia untuk menyatakan penyesalan kau tu? Itulah kau. Negatif sangat,” tingkah kawannya.

“Kau bukan tak tahu kisah percintaan aku yang kecundang dulu tu. Aku tak mahu pisang berbuah dua kali.”

“Dulu tu, silap kau juga. Bekas teman lelaki kau tu muda sangat. Baru lepas sekolah. Dan kau pula baru di tingkatan tiga. Percintaan waktu zaman remaja macam tu mana ada yang tulen. Cuma nak seronok-seronok saja, betul tak? Yang ini lain. Orangnya nampak matang. Macam ada pekerjaan yang terjamin. Hensem pula tu... Eh, Najwa! Kalau kau tak mau, pas kat akulah, nak tak?” usik kawannya.

Najwa menghabiskan minumannya yang sudah sejuk dengan sekali teguk. Lantas, dia terus bangun lalu beredar pantas dari kafeteria itu meninggalkan kawannya melangsaikan bayaran di kaunter. Najwa dikejar kawannya dari belakang.

“Eh, Najwa! Jangan begitu. Aku gurau pun tak boleh ke? Kau marah ye?... Nanti kejap! Ini ha, surat kau. Aku sengaja ambil dari pigeon hole kau tadi. Bacalah!”

Setiba di meja kerjanya, Najwa membuka sampul yang sama seperti yang pernah diterimanya dulu. Keharuman aroma bedak talcom pewangi badan menusuk ke rongga hidungnya. Lembaran putih yang berlipat rapi dikeluarkan dari sampulnya.

Najwa! Saya sungguh kesal di atas tindakan Najwa pagi itu. Tapi, tak apalah. Saya sedar siapa saya. Saya mungkin tak layak mendampingi Najwa. Saya cuma ingin menyatakan bahawa saya telah benar-benar tertarik dengan Najwa. Itu saja. Walaupun niat saya menjangkau lebih jauh daripada apa yang pernah saya lahirkan dalam surat saya, saya pasrah denagn apa yang terjadi...

Najwa! Pun demikian, fikiran positif saya tetap menyatakan bahawa kalau ada jodoh pasti tidak ke mana. Bagi saya kesabaran menunggu adalah nikamt kerinduan yang tidak terhingga. Kita merancang, Allah pun merancang. Perancangan Allah lebih baik daripada perancangan kita. Mohon mengundur diri. Jumpa lagi, insya-Allah!

Sekian. Wassalam.

Yang benar,

Karim

Nukilan: Ainurjah Tarikh: 26 Okt 2009

Komen anda amat dihargai. Terima kasih.

0 comments:

Post a Comment