Subscribe:

Monday, June 27, 2011

Pak Ali Penggali Kubur


Jawatan penggali kubur belum pernah lagi diiklankan dalam mana-mana media cetak mahupun elektronik. Pihak JPA mungkin terlepas pandang tentang jawatan tetap sampai pencen ini. Seperti mana jawatan-jawatan lain, penggali kubur juga memerlukan beberapa syarat kelayakan. Mungkin keperluan kelayakan akademik saja yang rendah. Tentang syarat-syarat lain seperti keadaan fizikal yang sihat, kemahiran mencangkul dan kemahiran mengira peringkat asas memang diperlukan. Sanggup bekerja tidak kira masa di samping boleh menyimpan rahsia merupakan syarat-syarat tambahan yang harus dimiliki oleh bakal penjawat jawatan penggali kubur.

Pun begitu, sejak dahulu sampai sekarang, belum pernah lagi ada calon jawatan penggali kubur memohon dan mengisi borang sama ada melalui surat khabar mahupun secara dalam talian.

Masyarakat semacam tidak berapa ambil kisah sangat dengan orang yang bekerja sebagai penggali kubur. Walaupun ia nampak macam kerja sambilan, tetapi apabila sudah mula berkecimpung dalam bidang ini, selamanya orang itu akan menggali kubur selagi kudrat masih ada. Selama mana dia mampu, alamat selamanya dia akan menggali kubur. Dengan kata-kata lain, dia akan terus bekerja menggali kubur sampai tiba masa kuburnya pula yang akan digali.

Inilah satu-satunya jawatan yang penting dalam masyarakat tetapi tidak pernah dilihat penting. Cuba bayangkan kalau tidak ada orang yang sanggup menggali kubur. Pasti akan bersepah-sepahlah mayat di merata tempat. Dosa tidak mengebumikan mayat pula akan ditanggung oleh semua orang dalam kawasan yang berlaku kematian. Ternyata orang bekerja sebagai penggali kubur telah menunaikan fardu kifayah yang dituntut. Maka terlepaslah dosa masyarakat sekampung. Besar sungguh jasa bakti penggali kubur kepada masyarakat.

Pak Ali sudah lama berkhidmat sebagai penggali kubur iaitu sejak berusia sama dengan usia Nabi ketika menerima wahyu pertama di Gua Hirak. Sebelum ini, Pak Ali menjadi gembala lembu, satu bidang pekerjaan dalam sektor pertanian yang menjanjikan pulangan yang lumayan jika dibuat secara komersial. Malangnya, Pak Ali hanya mempunyai lima ekor lembu sahaja. Bertambah malang lagi, Pak Ali tidak lagi memelihara lembu kira-kira enam bulan selepas kepulangan Lebar, isteri tersayang.

Kematian Lebar memang diduga. Meskipun rawatan diberikan, namun derita penyakit leukemia yang Lebar tanggung sekian lama akhirnya menjadi semakin serius. Sedang cinta kasih mereka masih panas, Izrail datang memanggil. Jasad terbujur di pembaringan. Seluruh tubuh terus menggigil. Sekujur badan dalam kedinginan.

Sebenarnya, Allah lebih sayangkan Lebar. Lalu, dia dijemput pulang dalam usia begitu muda. Mati muda, tidak banyak dosa, kata orang. Lalu tinggallah Pak Ali terkontang-kanting seorang diri meneruskan perjuangan di samudera kehidupan ini. Sesungguhnya kepulangan Lebar telah merubah warna kehidupan Pak Ali. Pada mulanya, berbulan-bulan juga dia resah gelisah tidak tentu arah menjalani kehidupan tanpa teman tercinta.

“Bang Ali! Kalau Bar mati, Bang Ali juallah salah seekor lembu kita buat belanja mengurus jenazah Bar.”

Demikian pesan arwah Lebar yang masih terngiang-ngiang di telinga Pak Ali semasa dia sedang jenuh berjuang menempuh alam sakratulmaut di hujung hayatnya kira-kira dua puluh tahun yang lepas. Walaupun sudah agak lama, namun kematian Lebar terasa macam baru semalam terjadi. Masih segar dan panas dalam ingatan Pak Ali akan detik-detik suka dan duka hidup bersama arwah isteri tersayang. Kenangan itu kini menerjah di kepalanya satu demi satu.

“Bang Ali! Kalau Bar mati dulu, Bang Ali carilah pengganti Bar. Tanpa Bar, siapa nak urus makan minum Bang Ali?” pesan Lebar lagi setelah dia semacam tahu-tahu bahawa ajalnya sudah semakin dekat.

“Bar! Buat apa Bar merepek-repek ni? Bar mengucap banyak-banyak! Ingatkan Allah! Sabar menghadapi ujian ni!” pesan Pak Ali sebagai peringatan kepada Lebar, petanda begitu kasih dan sayang pada isteri yang sedang nazak.

“Tidak, Bang Ali! Bar tak merepek. Bar cakap yang betul. Bar rasa ajal Bar pun dah sampai. Ini permintaan Bar yang terakhir,” bisik Lebar, antara dengar dan tidak, penuh sebak.

Dengan permintaan itu, Lebar menghembuskan nafas penyudah setelah bertahun-tahun menderita hidup akibat penyakit lebihan leukosit dalam darah yang sukar dirawat.

Enam bulan selepas arwah Lebar kembali, Pak Ali mengambil keputusan menjual semua kelima-lima ekor lembu kesayangan. Tak kuasa lagi Pak Ali hendak menuntun haiwan ternakan itu seorang diri saban hari keluar dan masuk kandang. Semasa arwah Lebar masih hidup, Pak Ali tidak menghadapi sebarang masalah dalam menguruskan lembu-lembunya kerana arwah selalu membantu. Semasa Pak Ali menarik lembu-lembu itu dari hadapan, Lebar mengacah dengan ranting buluh dari belakang.

Mengenang kembali habuan perkongsian hidupnya bersama Lebar yang tidak dikurniakan anak itu, Pak Ali rasa satu kerugian besar. Namun, itulah ketentuan Allah ke atas hamba-Nya. Sebagai orang-orang yang beriman, Pak Ali dan Lebar terima saja dengan hati pasrah di atas ketentuan Allah itu. Mereka berdua yakin sungguh bahawa pasti ada hikmah di sebalik sesuatu ketentuan yang Allah rencanakan.

Justeru, mahu tidak mahu, tanpa bantuan sesiapa, terpaksalah mereka berdua yang mengheret lembu-lembu itu ke sana ke mari di merata padang saban petang. Apabila sudah dapat kawasan rumput, di situlah lembu-lembut mereka ditambat. Menjelang senja, barulah lembu-lembu itu ditarik pulang untuk dibawa masuk ke kandang.

Begitulah hidup Pak Ali semasa arwah isteri masih ada. Walaupun nampak susah, namun Pak Ali tidak pernah rasa susah sedikit pun. Hidupnya bahagia bersama arwah isteri tercinta.

Kini Lebar sudah kembali. Siapa lagi yang boleh membantu Pak Ali menghalau lembu-lembu itu dari belakang semasa Pak Ali menariknya keluar dan masuk kandang? Tanpa Lebar, hidup Pak Ali kosong. Pak Ali rasa tiada gunanya lagi dia menyimpan lembu-lembu itu. Lebih baik dia jual sahaja haiwan ternakan itu seperti mana pesan arwah.

Tapi, arwah tidak suruh jual semua. Cuma Pak Ali saja rasa malas lagi hendak berhempas pulas dengan lembu-lembu itu saban hari. Selebihnya, kata Pak Ali, selagi lembu-lembu itu masih ada, masih ternampak-nampak kelibat arwah isterinya di mana-mana. Itulah yang Pak Ali tak sanggup hadapi. Sepi di hatinya akan bertambah-tambah jadinya. Tidak tertahan hati Pak Ali digigit dan dimamah kerinduan dan kesepian yang melampau saban waktu.

Selepas menjual semua lembunya, Pak Ali memilih untuk menjadi penggali kubur buat menyambung sisa-sisa hidupnya. Kini sudah hampir dua puluh tahun Pak Ali bekerja sebagai penggali kubur. Selama itu pulalah Pak Ali menguruskan hidupnya sendirian. Sejak mengambil alih jawatan itu daripada Pak Mat yang tiba-tiba jatuh sakit kerana usia tua, Pak Ali rasa kerja itu begitu serasi dengan naluri hati kecilnya.

Sejak bekerja sebagai penggali kubur, Pak Ali rasa sudah ketemu jalan hidup yang sebenarnya. Dia semacam mendapat hidayah daripada Allah tentang hakikat hidup di dunia yang fana ini. Kalau dulu, sewaktu arwah isteri masih ada, dia jarang-jarang mencukupkan solat lima waktu yang difardukan ke atas setiap individu Muslim dan Mukmin yang mukalaf. Asyik sibuk dengan lembu-lembu di kandang, Pak Ali sering terlepas waktu sembahyang.

Arwah Lebar tidaklah seteruk suaminya. Selalu juga Lebar menasihati Pak Ali agar menunaikan solat dulu sebelum melakukan sebarang kerja. Namun, reaksi Pak Ali semacam saja. Jarang dia mengambil hirau akan nasihat yang berguna itu. Pun begitu, Lebar tidak pernah rasa serik memperingatkan Pak Ali akan kewajipan paling utama terhadap Allah itu. Sekadar itulah saja yang termampu Lebar lakukan demi melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri.

“Bang Ali dah sembahyang Asar ke?” sapa Lebar, lembut ketika Pak Ali hendak membuka langkah ke tengah kawasan bendang untuk membawa balik lembu-lembunya ke kandang.

“Sembahyang, sembahyang! Tak ada benda lain ke yang nak suruh abang buat?” balas Pak Ali, kasar.

“Orang tanya elok-elok, dia marah kita pula,” rungut Lebar, perlahan.

“Bar tahu tak, sembahyang tu untuk orang-orang kaya saja. Orang-orang yang hidup senang lenang. Orang-orang yang hidup susah macam kita ni, tak payah sembahyang, Bar ooi!”

Astaghfirullahalaziim!” ucap Lebar, panjang.

“Sudah! Sudah! Jangan nak berleter macam-macam lagi. Jom ikut abang bawa lembu-lembu kita balik ke kandang sekarang,” perintah Pak Ali, keras.

“Tapi, bang! Dah dekat nak azan Maghrib ni. Hari dah nak gelap pun,” jawab Lebar.
“Sebab itulah kena cepat sikit. Jangan terhegeh-hegeh lagi,” bentak Pak Ali.

Pak Ali terus terjun dari tangga pondok usangnya tanpa berlengah diikuti Lebar yang berjalan pantas, kadang-kadang semacam berlari-lari anak. Di senja kala itu, sampai agak gelap barulah selesai semua kerja membawa balik lembu-lembu kesayangan dan dimasukkan ke dalam kandang. Lepas itu, barulah mereka boleh pergi mandi untuk membersihkan segala selut dan tahi lembu yang melekat di badan buat menghilangkan bau hapak dan hangit merata tubuh sebelum sempat duduk bersimpuh di hadapan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Di hujung waktu Maghrib yang berbaki itu, Lebar berdoa sambil mohon restu Ilahi agar Allah menitipkan bibit-bibit hidayah ke dalam hati suami tersayang. Pak Ali pun terkumat-kamit juga kedua bibir mulutnya. Entah apa yang didoakan, dia sendiri pun kurang faham.

“Alangkah bodohnya aku waktu dulu. Terlalu sibuk menguruskan lembu sehingga aku pun jadi bodoh macam lembu juga,” keluh Pak Ali penuh kesal saban kali teringatkan kehidupannya yang jahil semasa muda-muda dulu.

“Nasib baik Allah tidak ambil nyawa aku masa itu. Kalau tidak, alangkah ruginya aku,” desis hati kecil Pak Ali penuh insaf setiap kali dia berdoa lepas sembahyang lima waktu yang tidak pernah lagi ditinggalkan.

Suatu malam yang damai dan hening. Senja baru saja berlabuh.

“Kita tidak perlu minum arak, tidak perlu berzina, membunuh atau berjudi. Cukup dengan sengaja meninggalkan solat saja, kita sudah termasuk dalam golongan orang-orang yang kufur kepada Allah SWT,” pesan ustaz Zainur Rijal yang berkelulusan ijazah dari Universiti Al-Azhar kepada Pak Ali dan semua anak jemaah yang sedang tekun mengikuti kuliah Maghrib di surau kampungnya senja itu.

Pesanan itulah yang amat berbekas di hati Pak Ali, sekali gus mengubah corak hidupnya tiga ratus enam puluh darjah. Barakah sungguh ilmu yang disampaikan oleh ustaz yang mursyid itu. Kata nasihatnya seumpama butir-butir permata yang cukup berharga. Terpulang pada anak jemaah sama ada hendak mengutip ataupun tidak butir-butir mutiara yang tidak ternilai itu.
Selama dua puluh tahun, sudah beratus liang kubur yang Pak Ali gali. Sudah bertimbun pulalah pengalaman yang ditimba semasa mengorek liang lahad itu bak menimbunnya tanah kuburan yang digali. Ketika mula-mula menggali dulu, agak seram juga dirasakan. Tapi, lama kelamaan sudah menjadi biasa. Kata orang, alah bisa tegal biasa.

Jam sudah hampir lapan malam. Sudah lima jam Pak Ali dan pembantunya menggali. Menggali tidak henti-henti. Sambil menggali, sambil menimba air yang semakin deras memenuhi liang kubur. Air tidak juga kurang-kurang. Semakin laju mengalir entah dari mana sedangkan sudah hampir sebulan hujan tidak turun di daerah itu.

“Cukuplah! Mari kita balik dulu! Waktu Maghrib dah nak habis ni,” ajak Pak Ali setelah menyambung kembali aktiviti menggali sejak lepas waktu Asar tadi.

“Jadi, macam mana ni, Pak Ali? Sudah dua liang yang kita gali. Sama juga keadaannya. Air tidak henti-henti keluar entah dari mana. Adakah kita nak kena gali semula? Sempatkah? Jenazah Datuk akan disimpan malam ni juga,” jawab pembantu, cemas bercampur bimbang.

“Kita tengok lepas Maghrib nanti macam mana,” kata Pak Ali, tenang.

Sepanjang perjalanan pulang, tidak putus-putus otak Pak Ali memikirkan akan kekuasaan Allah serta keajaiban yang terjadi. Lantas, lidahnya pantas memuji-muji Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.

Mayat Datuk Ajid selesai dikebumikan selepas masuk waktu Isyak malam itu juga setelah penantian berbelas-belas jam dengan penuh debar dan cemas oleh semua ahli keluarga. Kasihan sungguh akan sekujur tubuh arwah Datuk yang terpaksa disemadikan dalam keadaan Pak Ali serta orang kampung tidak dapat berbuat apa-apa bagi menyekat aliran air yang masih membuak-buak dalam liang lahad. Betapa pun dapat dikeringkan, sekejap saja air itu mencurah-curah datang lalu memenuhi segenap ruang dalam liang itu. Akhirnya, Pak Imam Haji Samad terpaksa membuat keputusan menguburkan juga mayat Datuk Ajid dalam liang yang penuh berair itu.

“Apalah dosa Datuk sampai begitu sekali azab yang diterimanya. Setahu aku, Datuk adalah keturunan orang baik-baik. Arwah bapanya seorang pejuang kemerdekaan yang begitu terkenal,” fikir Pak Ali, semasa talkin dan doa sedang dibacakan.

Sambil turut mengaminkan doa, Pak Ali teringatkan beberapa episod kisah hidup Datuk Ajid yang dipaparkan dalam media massa sedikit masa dulu. Semasa hidupnya sebagai pemimpin sebuah parti politik, Datuk dituduh sering terbabit dengan gejala rasuah, pernah cuba merampas isteri orang, berlaku zalim terhadap musuh-musuh politiknya di samping melindungi kegiatan penyeludupan dadah. Tapi, menurut laporan media arus perdana, itu adalah fitnah yang sengaja diada-adakan oleh parti lawan. Demikian berita yang dinafikan di kaca television dan juga di dada-dada akhbar terkemuka bagi menyanggah segala tuduhan.

“Mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosa yang telah Datuk lakukan semasa hayatnya,” pinta Pak Ali, lirih bersama pak imam Haji Samad yang masih deras melafazkan doa.



Nukilan: Ainurjah
Tarikh: 17 Feb 2009

Komen anda amat dihargai. Terima kasih.

1 comments:

RUMPUT HIJAU said...

Salam Ziarah. Nukilan saudara begitu bersahaja tetapi amat mengesankan.Penggali kubur? Teringat semasa dikampung dulu pernah juga saya membantu orang menggali kubur. Kenangan lalu...

Post a Comment