Tuan hendak dengar cerita tak? Sudah lama agaknya saya tidak bercerita. Saya masih ingat semasa memberi ceramah motivai di banyak tempat di Sabah sedikit masa dahulu, saya suka bercerita kepada audien. Pada hemat saya, cerita boleh membawa pelbagai pengajaran dan iktibar, bukan begitu, tuan?
Baiklah kalau begitu. Izinkan saya memulakan cerita saya kali ini. Ada seorang ibu muda sekitar umur tiga puluhan yang amat berminat dengan aktiviti parti tupperware. Menjual tupperware sudah menjadi hobinya sejak kebelakangan ini. Jadi, boleh dikatakan setiap hari dia keluar rumah untuk memenuhi jemputan kawan-kawan yang membuat jamuan sempena penerangan tentang pelbagai jenis, saiz dan bentuk tupperware yang hendak dipromosikan.
Masalah ibu muda ini ialah anaknya yang baru berusia tiga tahun. Tiada sesiapa yang boleh dia tumpang tinggalkan anaknya itu. Jadi, terpaksalah dia bawa ke mana sahaja dia pergi. Satu lagi masalah ialah anaknya itu terkena penyakit kencing kerap. Asal minum sahaja pasti dia hendak terkencing. Malu dia dibuatnya semasa anaknya menjerit hendak terkencing dalam majlis parti tupperware itu.
Pada satu hari, ketika bersiap-siap di rumahnya kerana hendak pergi menghadiri satu jemputan parti tupperware di hujung kampung, dia berpesan kepada anaknya itu.
“Di tempat jamuan nanti, kalau Ayu rasa nak terkencing, jangan sebut nak kencing tau. Sebut ‘Ayu nak nyanyi’. Faham?”
“Kenapa, ibu?” tanya si anak kecil.
“Ala! Sebut saja le macam tu. Tak payah banyak soal lagi,” ulang ibu muda, tegas.
Begitulah setiap kali anaknya rasa hendak terkencing dalam majlis jamuan, anaknya akan memberitahunya yang dia hendak nyanyi.
Pada hari yang lain pula, ibu muda terpaksa ke Kuala Lumpur atas urusan bisnes tupperwarenya itu. Oleh kerana perjalanan agak jauh, dia terpaksa menghantar anaknya balik ke kampung tempat ibu dan ayahnya tinggal. Maka tinggallah Si Ayu bersama nenek dan datuknya di kampung buat beberapa hari.
Malam pertama, Si Ayu tidur bersama neneknya. Kira-kira jam tiga pagi, nenek tua terbangun kerana dikejutkan oleh cucu kesayangannya.
“Nek! Nek! Ayu nak nyanyi!”
“Buang tebiat ke budak ni. Nak nyanyi tengah-tengah malam gini,” gumam nenek tua.
“Nek, Nek! Cepat le! Ayu nak nyanyi. Tak tahan dah ni,” desak Ayu, bertalu-talu.
“He, Ayu! Sekarang ni, tengah malam tau. Bukan pagi. Siapa yang teringin sangat nak dengar Ayu nyanyi tengah-tengah malam gini?”
“Ala! Nek ni. Cepat le. Ayu tak tahan ni. Nak nyanyi sangat ni.”
“Baiklah! Kalau Ayu nak nyanyi juga, nyanyilah.”
“Nyanyi kat mana?”
“Nyanyi perlahan-lahan kat telinga nenek ni.”
Apa lagi! Pucuk dicita ulam mendatang. Maka Ayu pun melepaskan giannya sepuas hatinya sampai kebanjiran di lubang telinga neneknya. Si nenek pula terus terlena kerana terlalu asyik menikmati merdunya suara cucunya yang sedang ‘menyanyi’ di cuping telinganya itu.
Demikianlah kalau ibu bapa mengajar perkara yang salah kepada anak-anak. Akhirnya, sendirilah yang menanggung akibatnya.
Monday, December 19, 2011
Kisah Cucu Dengan Nenek
Labels:
cerita kelakar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment