Subscribe:

Wednesday, August 29, 2012

Biar Aku Jadi Lilin

     “Penerbangan MH 438 ke Miri akan mengambil masa sejam empat puluh lima minit.”

      Itu saja pengumuman yang dapat aku ingat semasa enjin pesawat MAS Boeing 737 Series 200 sedang diteran habis sebagai persediaan untuk berlepas.

      Aku melemparkan pandanganku ke luar tingkap. Seketika, pesawat telah mencapai kelajuan yang mencukupi untuk melonjak badannya dari landasan. Ketika badan pesawat sedang membelok perlahan-lahan ke arah destinasi yang dituju, tiba-tiba hatiku dilanda rasa sayu yang menusuk-nusuk.

     Wajah-wajah sanak saudara yang terpaksa kutinggalkan bersama kampung halaman di mana aku dibesarkan nampak jelas di ruang mataku kini. Segala kenangan tiba-tiba mengasak di layar ingatanku silih berganti, satu demi satu.

     Aku cuba memejamkan mataku untuk memadamkan semua ingatan yang menerpa di kepala. Namun, segenap usahaku untuk melupakan segalanya ternyata gagal. Kini, perlahan-lahan seraut wajah tenang ibuku pula menjengah di kanvas ingatan yang kian bercelaru warnanya.

     Di sebalik ketenangan wajah itu, aku tahu bahawa ibu sedang menyorok segunung kedukaan. Aku faham bahawa ibu sedang bertarung dengan badai perasaan yang hebat melanda di pantai hatinya.

    “Baik-baik jaga diri di tempat orang, nak!” pesan ibuku dengan nada yang tersekat-sekat, penuh sebak.

    Begitulah pesan ibu mana sekalipun di saat akan berpisah dengan anak tersayang. Lebih-lebih lagi perpisahan itu perpisahan kali pertama. Tambahan pula, tempat yang bakal dijelajahi adalah suatu perbatasan yang jauh dan asing.

    Mengenangkan diri yang sudah menjangkau usia tua, hati ibu mana yang tidak sayu melepaskan anaknya pergi. Namun, demi masa depan si anak, ibu terpaksa merelakan meskipun berat di hati hendak melapaskan si anak pergi.

    “Baik, mak! Faris akan selalu ingat pesan Mak. Faris minta diri dulu. Tinggal semua, ya. Assalamualaikum!” ucapku perlahan.

     Itulah saja ucapan yang termampu aku ungkapkan di saat hati dirundung duka nestapa ketika hendak berangkat. Sebak di dadaku di saat akan melangkah meninggalkan ibu penuh duka bertemankan air mata yang berlenangan di pipi, meruntun kakiku ketika melangkah.

    Pun begitu, wajah ibu tetap tenang, setenang air di Tasik Banding. Begitulah sifat seorang ibu yang sudah cukup masak dengan pengalaman suka duka kehidupan. Berpisah dan bertemu sudah begitu lumrah.

    “Lampu isyarat pasangkan tali keledar baru saja dipadamkan. Untuk keselamatan anda, sila pasangkan tali keledar semasa berada di tempat duduk anda.”

    Pengumuman oleh ketua pramugara melalui sistem siar raya pesawat merentap habis lamunanku yang panjang dalam penerbangan pagi itu. Ketika aku merenung ke luar tingkap, pesawat sedang berada di ketinggian tiga puluh tiga ribu kaki di atas paras laut. Tiada suatu apa pun yang kelihatan melainkan tompok-tompok awan gemawan yang memutih di mana-mana bagaikan hamparan permaidani putih yang maha luas.

    Aku mencapai majalah agak tebal dari poket tempat duduk di hadapanku. Aku membelek-belek beberapa halaman yang penuh dengan gambar-gambar tempat pelancongan yang menarik di serata dunia.

    Pun begitu, halaman-halaman bergambar itu segera membosankan aku. Kini, terasa semacam ada ketulan-ketulan batu yang bergayut di pelupuk mataku. Terlalu berat sehingga tidak terdaya hendak diangkat lagi. Beberapa detik kemudian, aku pun terlelap.

    Pesawat milik satu-satunya syarikat penerbangan negara sedang bergerak lancar dengan kelajuan lapan ratus lapan puluh kilometer sejam. Sambil terbang tinggi di awan dalam keadaan cuaca yang cukup baik sepanjang perjalanan yang sudah dilalui sejak berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira setengah jam yang lalu membuat seluruh rakyat rasa bangga dan hebat.

    “Tuan-tuan dan puan-puan! Makanan ringan akan disajikan sebentar lagi.”

    Sekali lagi pengumuman oleh ketua pramugara mengejutkan tidurku yang aku rasa begitu panjang. Padahal, aku baru saja terlelap tidak sampai pun dua puluh minit.

    Kali pertama menikmati makanan di atas kapal terbang cukup menyelerakan. Meskipun makanan yang disajikan cuma sedikit dan tidak boleh ditambah-tambah, namun aku rasa cukup mengenyangkan. Minuman air buah markisa yang masam-masam manis itu aku hirup sampai habis. Ala! Cawannya tidak sebesar mana pun. Tidak sampai pun setengah cawan yang aku minum hari-hari semasa sarapan di rumah.

    Tidak berapa lama selepas makan, mataku terasa mengantuk semula. Namun, aku tidak sempat menyambung tidurku kerana baru saja pengumuman dibuat bahawa pesawat akan mendarat dalam masa terdekat. Bandar Miri sudah berada beberapa batu notika sahaja lagi di hadapan.

    Aku tiba di Miri kira-kira pada jam 11.04 pagi. Aku bersama-sama sembilan orang lagi guru terlatih dari beberapa buah Institut Pendidikan Guru di Semenanjung telah menerima penempatan pertama kami di Sarawak yang terkenal dengan nama jolokan Bumi Kenyalang.

    Di lapangan terbang Miri, kami diberi kebebasan untuk merayau-rayau sekitar bangunan lapangan terbang sementara menunggu penerbangan seterusnya ke Pekan Lawas. Penerbangan ke destinasi terakhir kami akan mengambil masa lebih kurang empat puluh lima minit lagi. Kami dijangka berlepas pada jam 5.10 petang.

    Ketika berada di bangku tempat aku dan kawan-kawanku sedang duduk sambil menunggu saat untuk berangkat, aku mengelamun lagi. Macam-macam persoalan timbul di benakku ketika itu.

    Di manakah aku hendak tinggal di Lawas nanti? Berapakah sewa rumah di Lawas? Mahalkah? Cukupkah duit dalam simpananku untuk perbelanjaan hidup sebelum aku dapat gaji pertamaku? Jauhkah sekolah tempat aku mengajar dengan Pekan Lawas? Dengan apa aku hendak berulang alik ke sekolah setiap hari? Adakah aku akan ditempatkan di kuarters sekolah?

    Lamunanku tersentak ketika pengumuman untuk menaiki pesawat ke Lawas dibuat. Lantas, aku dan kawan-kawan menyusuri melalui pintu yang ternganga luas menuju ke pesawat yang sedia menunggu.

    Ketika berada dalam pesawat kedua, hatiku tiba-tiba dilanda cemas. Inilah pertama kali aku menaiki pesawat ringan jenis Twin Otter milik syarikat MASWING yang mempunyai hanya tujuh belas tempat duduk. Tragedi pesawat ringan seperti ini yang terhempas di kawasan Bekalalan sedikit masa dahulu tiba-tiba menghantui ingatan.

    “Ya, Allah! Engkau selamatkan perjalanan kami!” doaku, lirih.

    Alhamdulillah! Berkat doa kami, akhirnya kami tiba jua di lapangan terbang Lawas tepat pada jam 5.55 ptg tanpa sebarang perkara yang tidak diingini terjadi. Ketika aku sedang sibuk mengangkat beg pakaian, aku lihat semua kawan-kawanku yang datang bersama sejak dari KLIA diangkut seorang demi seorang oleh orang-orang yang menyambut kedatangan kami tanpa sempat aku mengucapkan ‘selamat jalan’ atau ‘terima kasih’ ataupun sebarang ucapan apa-apa.

    Sungguh kesal dan terasa begitu ralat sekali hatiku ketika itu. Pada sangkaanku, kami akan dikumpulkan di satu tempat untuk diberi taklimat ringkas sebelum kami dihantar ke sekolah masing-masing.

    “Aduhai! Kejamnya orang-orang di sini,” bisik hatiku, kecewa. Begitu juga dengan aku. Aku telah dibawa oleh seorang pemuda yang berusia sekitar awal empat puluhan dengan pakaian kasual tetapi kemas. Dia memeperkenalkan dirinya sebagai wakil guru besar Sekolah Kebangsaan Long Tuma, Lawas.

Selepas dibawa melawat kawasan sekolah yang terletak kira-kira sepuluh minit perjalanan dengan kereta dari Pekan Lawas, aku dibawa ke sebuah rumah sewa yang terletak di kawasan pekan. Di rumah sewa itu, semua kawanku yang dipisahkan semasa di lapanagn terbang tadi telah sedia menunggu. Rupa-rupanya kami ditempatkan di sebuah rumah sewa yang disediakan oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah Lawas. Patutlah kami disambar begitu rupa sampai tidak sempat hendak mengucapkan apa-apa. Rupa-rupanya kami akan dipertemukan semula.

Aku rasa cukup bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berkenaan yang telah menyelesaikan masalah tempat tinggal kami dengan begitu cekap dan bijak sekali. Demikian bisik hati kecilku.

Suatu pagi yang ceria. Mentari bersinar terang meskipun jam baru pukul 7.30 pagi.

“Kita, cikgu baru di sini?” sapa gadis manis bertahi lalat di bawah bibir dengan longat kedaerahan yang pekat.

“Ya, saya!” jawabku, ringkas. Terasa macam pernah nampak si gadis yang bertanya, bisik hati kecilku.

Aku melemparkan pandangan mataku jauh ke hujung selekoh Sungai Lawas. Suasana di kedai makan Selera Lawas di pinggir sungai itu semakin sibuk. Pengunjung semakin ramai yang datang untuk bersarapan di pagi minggu itu.

“Cikgu Faris datang seorang sajakah?” sapa si gadis manis lagi.

“Tidak! Dengan kawan-kawan serumah.” Macam mana dia tahu namaku, getus hati kecilku.

“Di mana mereka?”

“Itu ha!” jawabku sambil menunjuk ke arah meja tempat kawan-kawanku sedang duduk sambil minum-minum.

“Cikgu Faris tak kenal sayakah?”

Ada juga orang yang kenal aku di tempat asing begini, bisik hatiku. Dahiku mula berkerut.

“Cikgu Faris mengajar di SK Long Tuma kan?” sambung si gadis manis bertahi lalat bawah bibir dengan wajah ceria lagi ayu.

“Ya, saya! Macam mana kamu tahu saya mengajar di situ?” sapaku, hairan.

“La, cikgu Faris ni! Saya kan mengajar di sekolah yang sama.”

“Patutlah macam pernah nampak. Maaf kerana tak berapa perasan. Kamu orang sinikah?”

“Indak! Orang Sabah. Sudah lima tahun mengajar di sini,” beritahu si gadis manis tanpa diminta, ramah.

“Siapa nama kamu?” tanyaku, ingin berkenalan.

“Rosifah. Tapi orang panggil saya Ifah saja. Cikgu Faris asal dari mana?”

Belum pun sempat aku menjawab, tiba-tiba namaku dijerit kuat oleh kawan-kawan kerana memanggil aku pulang setelah selesai bersarapan di warung pinggir Sungai Lawas yang penuh sesak dengan pengunjung pagi. Lantas, aku bergegas mendapatkan mereka. Lalu motorsikal salah seorang daripada mereka aku bonceng. Aku hanya sempat melambaikan tangan pada cikgu Rosifah yang masih terpaku di tempat ia berdiri. Aku tahu cikgu Rosifah tentu belum puas menginterviu aku. Tentu banyak perkara lagi yang ingin diketahuinya. Begitulah juga dengan aku.

“Tak mengapa. Tak kan lari gunung dikejar. Lain kali boleh berbual-bual lagi dengan cikgu Rosifah,” bisik hati kecilku apabila teringat yang cikgu Rosifah mengajar di SK Long Tuma juga.

Hari-hari yang berlalu begitu pantas aku rasakan. Baguslah begitu. Aku suka begitu. Lagi pantas masa berlalu lagi baik. Sedar tak sedar, rupanya sudah masuk bulan keempat aku berada di perantauan.

Buat mengisi masa yang terluang selepas waktu sekolah, macam-macam kerja yang aku buat. Tanah sejengkal di tepi rumah sewa telah habis aku cangkul. Kemudiannya, penuh aku tanam dengan pokok-pokok cili padi. Berkebun memang hobiku sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Perkenalanku dengan cikgu Rosifah semakin rapat hari demi hari. Cikgu Rosifah banyak membantu aku mengenali orang-orang serta tempat-tempat yang baru dalam daerah Lawas. Maklumlah daerah ini masih asing buat aku. Pernah sekali aku dibawa bertandang ke rumah cikgu Rosifah di Kampung Luagan dalam daerah Beaufort. Katanya, aku hendak diperkenalkan dengan keluarganya.

Dalam empat bulan ini, habis semua sekolah di kawasan pedalaman 2 di mana teman-teman serumah bertugas telah aku ziarahi. Cuma kawasan pedalaman 3 sahaja lagi yang belum aku ada kesempatan melawat. Untuk sampai di kawasan pedalaman tersebut perlu masa yang lebih panjang.

Sekolah-sekolah yang telah aku pergi melawat termasuklah SK Punang, SK Awat-Awat, SK Luagan dan SK Long Tekun. Aku terpaksa menaiki perahu berenjin untuk sampai di SK Long Tekun yang terletak di pinggir Sungai Terusan.

Aku juga telah dua kali turun ke laut bersama-sama pak cik tukang kebun sekolah untuk memancing ikan siakap di persisiran pantai Teluk Berunai. Walaupun tiada seekor ikan pun yang menyambar mata pancingku, namun keseronokan yang terasa tiada tolok bandingnya.

Semua perkara yang aku buat adalah semata-mata kerana hendak mengisi masa yang terluang. Cukup pantang jika aku duduk-duduk saja tanpa melakukan sesuatu. Mudah-mudahan kesibukan yang sengaja kubuat akan dapat menghambat kesepian yang sentiasa mencemburui. Tidak ingin kubiarkan kesepian menggigit-gigit pangkal jantung hatiku.

Pun begitu, malam minggu itu begitu sepi. Kesepian itu menusuk-nusuk di hulu hatiku. Permintaan cikgu Rosifah petang tadi sewaktu aktiviti kokurikulum cukup merisaukan fikiran.

“Ifah! Maafkan Faris kerana tak dapat nak menunaikan permintaan kamu tu.”

“Tapi, kenapa?” sambar cikgu Rosifah, resah.

Mulutku terkunci serta merta. Lidahku kelu. Dahiku berkerut seribu. Kulit kepalaku tiba-tiba menggerutu. Spontan belakang kepalaku digaru meskipun tidak gatal.

“Ifah tahu. Ifah tak lawa. Ifah dah tua. Ifah kolot. Ifah tak cerdik. Ifah tak berpelajaran tinggi. Ifah tak punya ijazah macam Faris,” rungut cikgu Rosifah, panjang, penuh merendah diri.

“Bukan begitu, Ifah! Faris tak pernah pandang Ifah begitu. Faris tak pernah menganggap Ifah serendah itu. Tapi…”

“Tapi, apa Faris?” sambar cikgu Rosifah. “Berat sekali hendak Faris nyatakan pada Ifah.”

“Cakaplah, Faris! Ifah sedia mendengarnya meskipun pahit.”

“Ifah! Sebenarya,… Berat lidah Faris ni nak beritahu Ifah.”

“Tak mengapa. Cakap saja! Ifah sedia dengar apa saja yang Faris nak beritahu pada Ifah.”

“Ifah!” Faris menelan air liur yang terkumpul dalam mulutnya tiba-tiba. “Sebenarnya, Faris sudah bertunang.”

Tiba-tiba, cikgu Rosifah rasa dadanya meletup. Berita yang Faris khabarkan bagaikan ledakan gunung berapi dengan muntahan lahar panas yang membakar seluruh dadanya. Hatinya kecewa. Kekecewaan buat kali kelima ini benar-benar melumpuhkan semangat cikgu Rosifah buat meneruskan kehidupan.
Cikgu Rosifah berpusing seratus lapan puluh darjah lalu membuka langkah pantas tanpa menyedari bahawa sebuah kereta Produa Myvi putih sedang mara dengan laju ke arahnya. Faris sedang menyaksikan sebuah tragedi pilu di hadapan matanya petang itu dengan sesalan yang tidak terhingga.

0 comments:

Post a Comment