Subscribe:

Sunday, December 18, 2011

Litar Kehidupan

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali.
Sudah sebulan lebih kiranya saya tidak berbicara dengan anda, para peminat blog saya. Kesibukan melayan anak cucu mencuri waktu saya untuk terus berbicara di medan maya. Kepulangan mereka di musim cuti sekolah begini amat berharga. Ada anak yang sudah setahun lebih tidak pulang kerana bertugas di luar negara. Pulang pun hanya untuk beberapa hari sahaja. Memang susah hendak mendapat cuti jika bekerja dengan syarikat di Negara Matahari Terbit. Dapat seminggu pun sudah cukup baik, kata anak saya. Sebab itulah kesempatan bertemu sekali sekala begini perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Satu lagi aktiviti yang menyibukkan episod kehidupan saya ialah penulisan novel yang perlu disiapkan sebelum Mac tahun depan. Demi meme
nuhi kehendak penerbit yang inginkan enam buah novel sekali gus dalam satu set, bergantang keringat terpaksa diperah. Target saya ialah sebuah novel dalam masa sebulan. Setakat sekarang, sudah masuk novel keempat. Harap-harap tidak ada aral yang melintang. Penulisan sedang berjalan dengan lancar.

Pun begitu, rasa kepingin berbicara dalam blog sentiasa menggamit. Sedikit masa terpaksa dicuri demi melakar sebuah catatan pemikiran. Kali ini izinkan saya menyentuh sedikit tentang kehidupan duniawi kita yang bersifat sementara ini.

Saudara! Ketahuilah bahawa kehidupan ini adala
h laksana suatu litar elektrik yang tertutup. Maksud saya, untuk membolehkan alatan elektrik di rumah kita berfungsi seperti mana yang telah ditetapkan, litarnya mestilah tertutup.Semua suiz mestilah dipasang. Kalau ada suis yang tidak dipasang, pasti litar itu terbuka. Maka tidak ada arus elektrik yang mengalir.

Diringkaskan bicara, seperti mana litar elektrik di rumah mempunyai pelbagai komponen peralatan elektrik, begitu juga dengan litar kehi
dupan kita. Litar yang lengkap haruslah mengandungi komponen pendidikan, kesihatan, kerjaya, sosial, kegemaran, akhlak dan agama. Di sini, jika boleh saya gambarkan litar tersebut dalam bentuk grafik, tentulah lebih mudah untuk diingati. Mungkin rupa litar itu adalah seperti beikut:-

(Nota: Sepatutnya dalam litar itu ada tujuh anak panah saja yang merujuk kepada tujuh komponen litar kehidupan)

Kali ini, izinkan saya berbicara sedikit tentang komponen litar kehidupan yang pertama iaitu pendidikan. Pendidikan merupakan asas kepada kehidupan yang bermakna. Tanpa pendidikan, hidup kita tidak akan sampai ke mana-mana. Ketahuilah saudara bahawa pendidikan bermula semenjak insan itu berada dalam rahim ibunya lagi. Sebab itulah komponen pendidikan atau ilmu merupakan ingredien paling awal perlu diisi dalam kehidupan insan.

Melalui pendidikan kita akan memperolehi ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk meneruskan kelangsungan hidup kita. Kalau ditinjau dengan lebih mendalam, rupa-rupanya pendidikan berkait pula dengan fungsi akal dalam otak manusia. Sebab itulah mencari ilmu pengetahuan amat dituntut dalam kehidupan ini demi keselamatan, kejayaan dan kebahagiaan dalam hidup, baik di dunia mahupun di akhirat.

Kita akan berbicara dengan lebih lanjut lagi tentang komponen seterusnya dalam litar kehidupan yang sempurna pada pertemuan kita yang akan datang. Insya-Allah.

0 comments:

Post a Comment