“Kerja kat mana?” sapa Pak Mat, perlahan.
“Hospital,” beritahu gadis berwajah hitam manis beruniform putih yang lengkap dengan topi keledar masih melekat di kepala.
Itu sahaja dialog yang sempat dirakamkan pada pagi yang bertuah itu. Selepas membayar harga kuih yang dibeli, gadis hitam manis bertahi lalat di bawah bibir itu pun beredar dengan motosikal Yamaha Nauvonya. Pak Mat masih belum habis memilih kuih muih yang hendak dibeli di warung simpang empat itu. Setelah selesai memilih dan mamasukkan ke dalam beg plastik kecil, dia membayar harga semua kuih yang dibeli.
Pak Mat melangkah perlahan ke arah keretanya dengan langkah yang penuh hati-hati. Kedua-dua lutut dan buku lalinya terasa sengal-sengal sewaktu melangkah. Penyakit arthritis yang dihidapinya sejak selepas bersara semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini. Terima kasih pada pereka cipta kereta yang mencipta kereta bergear automatik. Kalau tidak, susah juga orang yang sakit macam Pak Mat hendak memandu.
Setiap pagi, Pak Mat datang bersama anaknya yang memandu kereta. Selepas minum-minum sambil berbual-bual dengan anaknya itu, barulah Pak Mat pulang. Tetapi hari ini, anaknya tidur semula selepas solat Subuh semasa dia hendak datang tadi. Agaknya, dia terlalu mengantuk kerana lewat tidur.
Di rumah, Pak Mat tinggal berdua sahaja dengan anaknya yang baru habis belajar di Jerman. Isterinya sudah lama meninggal, kira-kira empat belas tahun lalu. Sejak tarikh kematian isterinya itu, Pak Mat tinggal dengan anak bongsunya yang masih sekolah. Anak itu telah pun tamat latihan dari sebuah institut perguruan dan dihantar bertugas di pedalaman Sarawak sejak awal tahun ini.
Anak-anaknya yang lain pada masa itu, ada yang masih belajar di UiTM Kampus Segamat, seorang di Pusat Asasi UM, seorang lagi di Mesir dan yang sulungnya baru ditempatkan mengajar di sebuah sekolah kebangsaan di Kedah. Anak Pak Mat yang tinggal bersamanya sekarang sedang belajar di MRSM Bitara Langkawi pada masa itu.
Pak Mat tiba di rumah yang tidak berapa jauh dari warung kuih muih di simpang empat itu dengan perasaan yang sungguh ceria. Sambil menyanyi-nyanyi perlahan, Pak Mat melangkah masuk ke rumah dengan membawa beg palstik berisi kuih yang dibeli. Perubahan ketara pada wajah Pak Mat dapat dikesan oleh anaknya yang baru sahaja bangun. Dia sedang menonton rancangan kegemarannya di TV9, ruangan Tanyalah Ustaz.
“Kenapa ayah tak kejut Man tadi?”
“Kasihan tengok Man tengah nyenyak tidur. Malas nak ganggu tadi,” jawap Pak Mat.
“Ayah nampak seronok lain macam saja pagi ni. Ada apa-apa ke, ayah?” tanya Azman.
Pak Mat terus beredar ke dapur, lalu dibuatnya dua cawan kopi pracampuran panas. Dia membawanya ke ruang tamu bersama sepinggan kuih. Sambil bersarapan, bersama-sama Pak Mat menonton rancangan Tanyalah Ustaz dengan anaknya.
“Ayah belum jawab lagi soalan Man.”
“Entah! Ayah pun tak tahu kenapa ayah seronok sangat pagi ni.”
“Ni mesti ada apa-apa ni,” syak Azman, tanpa prasangka buruk.
“Ada le tadi kat warung tu. Ayah terjumpa seseorang. Katanya, dia kerja kat hospital di Kangar tu.”
“Lelaki ke perempuan?” potong Azman.
“Perempuan. Anak dara lagi.”
“Kan Man dah kata tadi. Mesti ada apa-apa. Nama apa, ayah?”
“Tak dan ayah nak tanya nama dia tadi. Dia nampak kalut sangat. Nak ke tempat kerja kot.”
“Ayah jangan berangan-angan tau. Mungkin dia tu tunang orang. Mungkin dah ada yang punya.”
“Eh, eh! Ke situ pula Man ni... Jemput minum. Ayah beli cucur saja hari ni. Nasi lemak ayah tak beli pun. Hari-hari makan nasi lemak pun tak bagus juga.”
Begitulah sejak akhir-akhir ini iaitu sejak setahun yang lepas. Sejak Azman pulang dari Jerman tempoh hari. Setiap pagi Pak Mat bersarapan dengan anaknya, kadang-kadang di warung simpang, kadang-kadang di rumah. Kalau Pak Mat sudah jemu dengan kuih muih di warung simpang itu, mereka akan berkelana lebih jauh semata-mata kerana hendak menukar menu sarapan.
Malam itu Pak Mat tidak dapat tidur nyenyak. Asyik terkenang-kenang si gadis hitam manis bertahi lalat bawah bibir.
“Kalau begini, tak boleh jadi. Aku mesti jumpa dia esok pagi. Dia mesti datang lagi ke warung simpang itu untuk membeli kuih,” getus hati kecil Pak Mat di tengah malam buta itu.
Kalau dia tak datang esok pagi, macam mana? Pak Mat nekad akan menunggu gadis itu setiap pagi di warung simpang itu. Dia akan terus menunggu hingga tertunai hajatnya hendak berjumpa dengan gadis hitam manis itu.
Lalu keesokan paginya, Pak Mat cepat-cepat bersiap hendak ke warung simpang itu lagi.
“Ayah! Man nak ikut,” jerit Azman dari dalam bilik.
Rosak rancangan, gumam Pak Mat.
“Okey! Ayah tunggu,” jawab Pak Mat ketika sedang memanaskan enjin kereta di bawah porch.
Azman memandu kereta Proton Iswara sedan milik Pak Mat laju membelah angin pagi yang dingin. Kereta itu Pak Mat bawa balik dari Sabah, tempat dia pernah bertugas sebelum bersara tujuh tahun lalu.
“Eh, Man! Kenapa laju-laju ni? Kita bukan nak kejar apa-apa,” rungut Pak Mat.
“Man tahu, ayah nak jumpa gadis hitam manis kelmarin tu kan,” gurau Azman.
“Kau ni, merepek saja le, Man.”
Ayah dengan anak, mana boleh berahsia-rahsia. Ayah dengan anak, sudah ada semacam aura. Apa yang terlintas di hati anak pasti dapat dikesan oleh si ayah. Begitulah sebaliknya. Buat pula hubungan antara mereka begitu rapat. Sudah besar panjang pun masih tinggal sekali. Itu yang membuatkan aura semakin kuat.
Mereka tiba di warung simpang ketika orang ramai berduyun-duyun beratur untuk membeli kuih. Laku sungguh kuih muih di warung simpang itu. Pak Mat dan anaknya, Azman mencapai nasi lemak, sebungkus seorang. Lalu mereka menapak ke meja paling hujung. Pelayan segera datang untuk mengambil pesanan.
“Minum?” tanya mak cik pelayan warung, mesra.
“Macam biasa. Kopi ‘O’ panas, dua cawan,” jawab Pak Man.
Semasa duduk menunggu minuman yang dipesan, bola mata Pak Mat liar berputar. Dari jauh dia meneropong susuk tubuh orang-orang yang sedang berebut-rebut membeli kuih. Dia menyenarai-pendekkan pengunjung-pengunjung yang diteropongnya. Fokusnya ialah terhadap anak gadis yang pakai topi keledar serta beruniform putih. Lebih khusus, tumpuannya ialah terhadap gadis hitam manis yang menyapanya pagi kelmarin.
Seketika minuman pun sampai.
“Sekejap, Man. Ayah nak beli kuih dulu. Nanti habis pula. Orang ramai tu,” kata Pak Mat sambil terus bangun ke meja tempat kuih muih dipamerkan.
Sambil memilih kuih yang dia berkenan untuk mereka berdua, Pak Mat tertinjau-tinjau juga kot-kot bertembung dengan gadis hitam manis yang kepingin benar Pak Mat hendak bertemu. Sampai selesai membeli kuih pun masih tidak juga diketemui dengan gadis yang dimaksudkan.
Pak Mat ke meja tempat anaknya menunggu. Azman sudah pun separuh siap bersarapan. Pak Mat meneguk sedikit kopi panas di hadapannya. Nikmatnya tidak terkira.
“Ayah! Kenapa Man nampak ayah macam tak berapa seronok hari ni? Tak macam kelmarin. Gadis hitam manis tu tak datang ke?” usik Azman.
“Kalau dia datang, ayah nak tunjuk kat Man.”
“Buat apa tunjuk kat Man?”
“Laa! Kot-kot Man berkenan le.”
“Heh! Man tak mau le. Ayah tak tau ke Man dah ada pilihan sendiri?”
“Siapa?” potong Pak Mat, tertanya-tanya.
“Tapi dia duduk jauh sikit dari sini. Dia ada kat luar negara.”
“Siapa?” ulang pak Mat, ingin tahu.
“Dia gadis Jerman.”
“Man jangan pandai-pandai mereka cerita. Awat, orang Malaysia tak dak ke?”
Azman menyambut soalan ayahnya dengan ketawa yang tertahan-tahan. Mata Pak Mat masih tidak buang pandang dari meja tempat jual kuih. Akhirnya Pak Mat sendiri yang mengajak anaknya pulang dengan perasaan penuh hampa kerana kecewa tidak dapat berjumpa dengan gadis hitam manis bertahi lalat bawah bibir.
Pak Mat datang lagi ke warung simpang itu keesokan pagi sendirian tanpa ditemani anaknya yang berpuasa sunat Khamis.
Nasib Pak Mat memang baik hari itu. Kata orang, pucuk dicita ulam mendatang.
“Assalamualaikum! Jumpa lagi,” sapa si gadis hitam manis.
“Waalaikumsalam! Banyak hari tak nampak. Bercuti ke?” tanya Pak Mat.
“Tak. Cuma kelmarin saya tak singgah pun di warung ni. Saya sarapan kat rumah saja.”
“Kerja kat bahagian mana di hospital tu?”
“Kat Klinik Kesihatan. Kaunter pendaftaran pesakit luar,” jawab si gadis hitam manis.
“Eh, eh! Terlupa nak tanya. Anak ni nama apa?”
“Syafiqah! Panggil saya Fiqah saja. Nama pak cik?”
“Panggil pak cik Mat pun boleh.”
“Tak apa le, pak cik. Fiqah minta diri dulu. Dah terlambat ni.”
“Hati-hati ye naik motor tu,” pesan Pak Mat.
Syafiqah melemparkan sekuntum senyuman sebagai hadiah di atas nasihat Pak Mat agar dia berhati-hati semasa menunggang motosikal.
Seperti biasa Pak Mat memesan kopi ‘O’ panas yang akan diminum dengan beberapa biji kuih seperti onde-onde, pulut dakap, tepung bungkus dan karipap berinti ubi keledek. Dia tidak membeli apa-apa kuih untuk dibawa pulang pagi itu.
Selepas pertemuan pagi itu, boleh dikatakan setiap hari Pak Mat bertembung dengan Syafiqah. Pak Mat sudah dapat kesan sekitar jam berapa Syafiqah akan singgah di warung simpang itu.
Satu pagi yang cerah. Langit biru bersih. Tiada tumpuk-tumpuk awan yang kelihatan melainkan yang berjajaran memutih di kawasan bukit bukau nun di kejauhan pandangan. Mentari belum menampakkan wajahnya lagi. Bayu pagi bertiup lembut. Orang semakain ramai yang datang ke warung simpang yang poplar itu.
“Aik! Hari ni tak pakai uniform kerja ke?” sapa Pak Mat, mesra.
“Hari ni Fiqah cuti.”
“Kalau gitu, mari kita minum-minum dulu,” pelawa Pak Mat.
“Sekejap boleh le.”
“Fiqah nak minum apa? Jangan risau, pak cik belanja.”
“Minta Fiqah milo ‘O’ panas,” beritahu Syafiqah sambil memilih kuih untuk sarapan bersama Pak Mat.
“Bagi kopi ‘O’ panas satu, milo ‘O’ panas satu,” beritahu Pak Mat pada mak cik pelayan.
Mereka duduk di meja paling hujung yang agak jauh daripada orang ramai.
“Fiqah tinggal dengan siapa?”
“Berdua saja dengan mak.”
“Ayah meninggal?”
“Tak. Berpisah hidup.”
“Maafkan pak cik bertanya tentang keluarga Fiqah.”
“Tak apa. Fiqah tak terasa apa-apa. Fiqah dah biasa.”
“Dah lama ke mak ayah berpisah?”
“Sejak Fiqah berumur dua tahun lagi.”
Tetiba timbul rasa begitu simpati di sudut hati Pak Mat dengan Syafiqah yang dibesarkan tanpa kasih sayang seorang bapa sejak kecil.
“Fiqah! Pak cik kagum dengan Fiqah. Hidup tanpa perhatian dan pengawasan seorang ayah, namun Fiqah berjaya juga mendapat pekerjaan yang terjamin untuk masa depan Fiqah.”
“Pak cik! Maafkan Fiqah. Fiqah kena balik dulu. Minta nombor telefon pak cik, boleh tad? Nanti Fiqah call.”
Selepas mendapat nombor telefon Pak Mat, Syafiqah tergesa-gesa beredar. Pak Mat sungguh rasa puas hati pagi itu kerana dapat berbual-bual dengan Syafiqah agak panjang. Dia tertunggu-tunggu panggilan daripada Syafiqah saban waktu.
Malam itu ketika Pak Mat sedang menunaikan rakaat akhir solat Isyak, telefon bimbitnya berbunyi. Pak Mat mempercepatkan bacaan tasyahudnya. Namun, setelah dia memberi salam ke kiri, panggilan telah pun terputus. Pak Mat memerhati nombor miscall yang tertera pada skrin telefonnya. Dia mendial nombor tersebut.
“Hello! Siapa ni?”
“Pak cik! Ni Fiqah le. Pak cik apa khabar?”
“Baik! Fiqah sihat?”
“Demam sikit sejak balik kerja petang tadi. Pak cik! Fiqah nak minta tolong pak cik, boleh tak?” tanya Syafiqah, bersopan.
“Boleh! Tolong macam mana?”
“Fiqah bercadang nak ambil pak cik sebagai referee. Fiqah ada mohon kerja baru yang lebih baik sikit pendapatannya.”
“Oh, tak ada masalah tu. Macam mana boleh pak cik beri maklumat tentang diri pak cik? Pakai hantar sms saja ke?”
“Nanti Fiqah pergi rumah pak cik, boleh? Rumah pak cik kat mana?”
“Kira-kira dua kilometer dari warung kuih di simpang tu. Menghala ke Jejawi.”
“Apa nama kampung tu, pak cik?”
Di pagi hari minggu. Syafiqah ke rumah Pak Mat bersama ibunya. Kedatangan mereka disambut oleh Azman di muka pintu.
“Masuklah dulu. Sekejap lagi ayah balik. Dia pergi beli kuih di kedai dekat masjid tu saja.”
Mata bertentang mata. Lajunya jantung berdegup tidak terkata. Seketika Pak Mat pun pulang.
“Eh! Bang Mat ke ni?” sapa ibu Syafiqah.
“Eh, eh! Yam! Fiqah ni anak Yam ke?”
“Ya le! Ni siapa?” tanya Mak Yam sambil menjeling ke arah Azman.
“Anak saya le.”
Azman dan Syafiqah saling bertukar pandangan dan senyuman.
Maka terjadilah episod angan-angan antara Pak Mat dan Mak Yam untuk menyambung kembali tali silaturahim antara mereka yang sudah terputus berpuluh tahun lamanya. Tidak lama selepas itu, berlngsunglah suatu majlis akad nikah yang serba sederhana tetapi penuh beradab. Maka terjalinlah satu lagi ikatan perkahwinan antara seorang teruna dan dara atas dasar cinta selepas kahwin.
Berjayakah mereka membina sebuah keluarga yang aman bahagia? Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Maka tinggallah Pak Mat sendirian menjadi pengunjung setia warung simpang sampai ke satu masa yang belum pasti entah bila.
Nukilan: Ainurjah
Tarikh : 3 Nov 2011
Thursday, November 3, 2011
Jodoh Di Warung Simpang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment