Bertemu kembali.
Komponen kedua yang penting dalam litar kehidupan kita ialah kesihatan. Kata pendita, akal yang sihat berasal dari badan yang sihat. Kata pakar kesihatan, cergas badan maka cerdaslah minda. Memang betul kata-kata pujangga itu. Maksudnya, apa guna harta yang melimpah ruah kalau tubuh badan sentiasa sakit-sakit. Ketika kita jatuh sakit, kesihatan tidak ternilai harganya. Ibarat kata kalau ditukar dengan segunung intan pun kita tidak sanggup. Begitulah mahalnya harga kesihatan.
Malangnya, tidak banyak orang yang menghargai anugerah tubuh badan yang sihat. Waktu sihat, kita makan macam-macam. Ini akibat kurangnya ilmu atau pendidikan tentang amalan pemakanan. Kalau boleh semua benda hendak disumbat ke dalam mulut. Asalkan lidah kata sedap, pasti akan disumbat ke mulut. Padahal, Nabi kita telah memberi panduan tentang adab makan iaitu makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang di samping mengunyah makanan selumat-lumatnya sebelum menelan.
Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak saudara-saudara membayangkan betapa sia-sianya usaha kita bertungkus lumus, siang dan malam, mengumpul harta benda selama ini, ketika kita ditimpa sakit. Bayangkan, kita seorang hartawan, dalam masa yang sama kita terlantar sakit di hospital tanpa daya. Hendak mengangkat tangan pun tidak terdaya lagi. Sudahlah makan pun kena suap, hendak bergerak pun terpaksa dipapah. Ketika itu wang ringgit sudah tidak bernilai lagi.
Jadi, nasihat saya pada diri saya sendiri dan juga diri saudara, jagalah kesihatan dengan sentiasa memberi perhatian terhadap apa dan bagaimana kita makan. Jagalah kesihatan sebelum sakit kerana itu merupakan salah satu daripada lima perkara yang Nabi pesan yang wajib kita jaga. Pun begitu, sakit adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Sakit adalah musibah yang telah ditentukan agar manusia insaf atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukan di samping belajar lebih menghargai nikmat kesihatan.
Wallahua’lam!
Thursday, December 22, 2011
Litar Kedua: Nikmat Kesihatan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment