Subscribe:

Tuesday, September 22, 2009

Tuntutan Bermaaf-maafan Di Hari Raya


Hari ini sudah masuk hari ketiga umat Islam di negara ini berhari raya. Rata-ratanya, kebanyakan kita masih dalam emosi atau 'mood' hari raya. Pun begitu, sudah ada di kalangan kita, terutamanya golongan dewasa, yang sudah mula berpuasa sunat Syawal. Sepertimana disebut oleh Nabi Muhammad SAW bahawa barang siapa yang berpuasa genap sebulan dalam bulan Ramadan, kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal, maka dia akan mendapat ganjaran pahala seperti berpuasa setahun. Bagi saya, berpuasa sunat Syawal itu tidak perlulah hendak cepat-cepat menunaikannya. Relaklah… Tetamu pun masih jujuh berkunjung. Tak sampai hati saya melihat saja tetamu menjamu selera sedangkan saya berpuasa. Bayangkan diri saya di tempat tetamu itu. Alangkah tidak selesanya saya. Tambahan pula diri sendiri pun masih belum sempat mengunjungi ke rumah jiran-jiran tepi rumah. Bukankah meraikan tetamu yang datang berkunjung dan mengunjungi jiran-jiran sekampung atau setaman itu yang lebih afdal? Ini adalah pendapat peribadi saya saja. Orang lain mungkin lain pula pendapatnya. Apa pun, lakukanlah semua ibadat dengan hati yang penuh tulus ikhlas kerana Allah semata-mata. Bagi mereka yang bekerja, tidak kira sama ada di sektor awam mahupun swasta, belum pun puas berhari raya di kampung, sudah terpaksa bergegas semula ke tempat tinggal masing-masing kerana cuti sudah habis. Sekali lagi mereka terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas di jalan-jalan raya. Sekiranya kita benar-benar menghayati roh Ramadan, kita akan memandu dengan penuh kesabaran agar selamat tiba di destinasi yang dituju meskipun sedikit terlambat.

0 comments:

Post a Comment