Di surau berhampiran, usai menunaikan solat Maghrib dengan begitu tergopoh-gapah, Hazman mengatur langkah pantas terkedek-kedek menuju ke pintu utama stadium yang ternganga luas. Laila mengekori, juga dengan langkah cepat sambil menghayun punggung pejal berisi.
Di pintu utama, orang ramai sudah mula berkerumun macam semut menghurung gula. Kebanyakannya berkemeja-T warna merah. Yang memakai baju warna kuning boleh dibilang. Hati Hazman mula cemas kerana dia adalah penyokong pasukan kuning.
Keadaan menjadi semakin sesak kerana semua penonton terpaksa berbaris panjang. Seorang demi seorang dilepaskan masuk melalui pintu berpalang besi yang boleh berpusing itu. Dengan menggenggam tangan Laila erat, Hazman mengesot perlahan dicelah-celah barisan manusia yang berasak-asak menuju ke pintu besi yang kelihatan baru dicat.
Walaupun terdapat banyak pintu besi yang serupa di sekeliling stadium, namun tidak dapat menampung jumlah penonton yang begitu ramai. Bertambah teruk lagi keadaan kerana semuanya hendak masuk cepat melalui pintu yang sempit dan berhalangan itu. Keadaan di pintu-pintu yang lain pun serupa.
Penonton mula menjadi bertambah ramai. Dalam keadaan berasak-asak di tengah rempuhan dan tolakan lautan manusia itu, Hazman nampak ada sekumpulan penonton yang baru tiba, tergocoh-gocoh. Semuanya memakai kemeja-T warna merah. Beberapa kaki dari tempat mereka berbaris itu, kedengaran mereka sedang tawar menawar dengan seorang ulat tiket yang meletakkan harga tiket sebanyak RM 60 padahal harga asalnya ialah cuma RM 20 sahaja.
“Cekik darah!… Nasib baik kita beli tiket awal. Kalau tidak terpaksalah beli dengan harga yang berlipat kali ganda mahal,” rungut Mazlam pada Laila.
Asak mengasak kian keras dan kasar. Struktur pintu besi nampak sedikit bergegar. Kira-kira sepuluh minit kemudian Hazman dan Laila dapat meloloskan diri ke dalam stadium. Lega rasa hati mereka. Lantas, cepat-cepat mereka mencari tempat duduk yang strategik di sebelah kiri pintu gol pasukan mereka. Di situlah mereka selalu duduk setiap kali mereka menonton perlawanan bola sepak kalau pasukan mereka beraksi.
Seketika bunyi riuh rendah di pintu utama jelas kedengaran sampai ke dalam stadium. Rupa-rupanya pintu pagar berpalang besi roboh akibat dirempuh oleh penonton. Pihak penjaga stadium terpaksa melepaskan mereka tanpa payah beratur dan menunggu giliran lagi. Lautan manusia melimpah masuk melalui pintu itu bagaikan arus air yang melanda deras akibat benteng pecah.
Tidak berapa lama kemudian, keseluruhan stadium kelihatan penuh sesak dengan penonton. Dari jauh sebahagian besar tempat duduk penonton di seberang stadium tampak bagaikan hamparan permaidani merah. Hazman dan Laila bernasib baik kerana berada di sudut stadium bersama-sama penyokong pasukan kuning. Kelap-kelip kilasan lampu kamera merata-rata tempat duduk penonton.
Kira-kira lima belas minit lagi perlawanan akhir bola sepak akan berlangsung dalam siri saingan Piala Malaysia antara pasukan negeri Adat Perpatih dan Cik Siti Wan Kembang.
Menunggu adalah satu penyeksaan. Hazman mengisi masa penantian itu dengan memerhati gelagat penonton di hadapannya. Pada kedudukan seolah-olah di paras ketinggian tingkat lima rumah pangsa, Hazman dapat perhatikan gelagat penonton di bawahnya dengan jelas.
Macam-macam perangai manusia ketika berada di puncak kegembiraan yang melampau. Ada yang memperagakan fesyen pakaian macam puak Red Indian di gurun Arizona dalam cerita filem koboi. Ada pula yang sanggup mengecat muka mereka dengan cat merah sampai nampak macam muka seekor lembu garang. Nampak dua biji mata sahaja.
Persoalan yang berlegar di benak Hazman ketika itu ialah bilakah orang itu mengecat mukanya? Kalau dicat sebelum solat Maghrib, sempatkah orang itu mencuci mukanya kemudian mengecat semula selepas solat? Ataupun mereka menunaikan waktu solat mereka secara jamak kerana bermusafir. Layakkah mereka digelar musafir kerana hendak menonton bola sepak? Hazman membiarkan soalan-soalan itu tanpa berjawab. Terlintas juga di fikirannya akan jawapan sendiri bagi meredakan kerisauan.
“Masa aku muda-muda dulu pun macam tu juga. Memang terlepas solat setiap kali menonton perlawanan bola sepak di stadium. Astaghfirullahalaziim,” bisik hati Hazman, lirih.
Laila asyik mengunyah kacang kuda rebus sejak tadi. Sesekali dia meneguk air pepsi cola sejuk yang dibeli sebentar tadi.
“Dari segi sokongan, memang kalah pasukan kita malam ni, bang,” bisik Laila ke telinga Hazman.
“Tak mengapa. Di Malaysia ni, menang kalah tidak bergantung sangat pada sokongan penonton,” balas Hazman, spontan.
“Harap-harap menang pasukan kita, ya bang!”
Angguk Hazman tanda merestui harapan isterinya. Laila bukan orang Negeri. Dia dari negeri yang terkenal dengan kisah legenda Puteri Gunung Ledang tetapi menjadi penyokong fanatik setelah berkahwin dengan Hazman yang kebetulan berasal dari negeri Adat Perpatih itu.
Bola mata Hazman dibiarkan berputar ke segenap penjuru barisan tempat duduk penonton yang dapat dijangkau oleh pandangan. Dilihatnya, rata-rata terdiri daripada golongan muda dan kanak-kanak. Penonton yang sebaya umur dengannya boleh dibilang dengan jejari.
“Bila lagi aku hendak berhenti menonton permainan bola sepak ni? Umur dah menjengah di tingkap usia persaraan. Tapi, aku masih tetap berkunjung ke stadium lagi. Sepatutnya, di usia begini, aku lebih banyak di atas tikar sembahyang. Lebih banyak masa duduk beriktikaf di masjid,” bisik hati Hazman, penuh syahdu.
Hazman terasa malu pada dirinya sendiri. Renungan ke masa-masa silam umur hidupnya kian jauh, menjangkau ke ruang-ruang waktu yang telah disia-siakan.
“Hei, bang! Apa yang dimenungkan tu? Diam saja!” kejut Laila, sekali gus meragut lamunan jauh suaminya.
“Tak ada apa-apa. Cuma abang teringatkan anak kita saja. Tak tahu kenapa tiba-tiba wajah anak kita tu melintas di ingatan abang sekejap tadi,” bohong Hazman.
“Aaah! Buat apa nak ingatkan dia waktu-waktu begini? Kita dalam stadium ni. Tengah menonton perlawanan yang akan menentukan nasib pasukan kita, bang.”
“Yalah! Moga-moga Allah selamatkan dia,” doa Hazman.
“Usah bimbang, bang! Mesir tu selamat tempatnya. Ramai juga penuntut Malaysia yang buat kursus perubatan macam anak kita tu,” pujuk Laila.
Tepat seperti mana dijanjikan, tiupan wisel pertama yang dinanti-nanti menjerit panjang di tengah-tengah gelanggang. Serentak diikuti tepuk sorak para penyokong kedua-dua pasukan yang memenuhi setiap ruang stadium yang boleh memuatkan lebih lapan puluh ribu penonton itu.
Pergelutan sepanjang empat puluh lima minit pertama dengan keadaan permainan yang hampir seimbang tidak menghasilkan sebarang jaringan bagi kedua-dua pasukan. Selepas rehat lebih kurang lima belas minit, sekali lagi tiupan wisel pengadil pertandingan menjerit nyaring diiringi siulan dan tempik sorak penonton di puncak kegembiraan. Baru beberapa saat saja wisel dibunyikan, pasukan berjersi kuning berjaya menjaringkan gol mereka yang pertama. Lantas, seluruh stadium tiba-tiba menjadi gamat.
Hazman baru saja melabuhkan punggung di sebelah Laila yang tidak berganjak ke mana-mana semasa perlawanan berhenti rehat. Belum pun sempat Hazman menyedut minuman yang baru dibeli, pasukannya memperolehi satu lagi jaringan. Ketika itu kedengaran mercun berdentum-dentam di kawasan penyokong pasukan lawan yang ketinggalan dua gol.
Para penyokong berjersi merah kelihatan mula meninggalkan bangku tempat duduk ketika satu lagi jaringan dibuat oleh pasukan berjersi kuning menjelang perlawanan yang berbaki lima minit. Dentuman bunyi mercun semakin menjadi-jadi. Lontaran objek-objek keras seperti batu dan botol-botol air minuman kelihatan bertubi-tubi masuk ke kawasan di tepi padang tidak kira sasaran. Ada di antara objek yang dilontar itu terkena pada badan pengadil garisan.
Ketika permainan sudah hampir tiba di penghujung waktu, tiba-tiba telefon bimbit Hazman berbunyi tanda ada khidmat pesanan ringkas masuk. Hazman membuka kekunci lalu ditatapi sms yang datang daripada seorang kawan lama dari Sabah.
“Aslm’kum. Kamu di mana?” tanya kawan nun jauh di Malaysia Timur.
“Wkm'slm. Dekat stadium ni. Tengah tengok perlawanan akhir bola sepak. Awak kat mana?” balas Hazman.
“Saya kat rumah. Ada live di tv. Skuad Kijang kena teruk nampak. Dah tiga kosong.”
“Biar dia orang kena lima kosong pun tak apa. Jaguh kampung. Bukan nak main bola tapi nak libas betis orang,” balas Hazman, penuh emosi.
“Saya tengok dia orang main okey saja. Cuma pengadilan saja nampak macam berat sebelah.”
“Pemain-pemain tu okey. Tapi penyokong-penyokongnya tu yang dahsyat. Baru saya tahu teruknya perangai orang-orang Pas.”
“Mana kamu tahu itu orang-orang Pas?”
“Aah, tak kiralah siapa pun! Orang Kelantan memang teruklah. Ganas! Tak berdisiplin langsung. Kalau dah kalah tu terima sajalah. Tak sangka saya. Negeri di bawah kepimpinan ulama tapi perangai rakyatnya macam lanun. Dari dulu lagi memang saya tak suka orang Kelantan,” balas Hazman, geram penuh emosi.
Jaringan saguhati oleh pasukan berjersi merah di saat-saat akhir tambahan masa kecederaan disambut dengan pembakaran kerusi tempat duduk penonton di kawasan seberang padang. Masa itu cuma tinggal beberapa orang saja lagi penyokong pasukan berjersi merah. Kelihatan para petugas keselamatan sibuk memadamkan api yang sedang marak.
Setelah pasti pasukannya menang, Hazman menarik tangan Laila kemas lalu melangkah cepat menuju pintu keluar walaupun wisel penamat belum lagi ditiup. Hazman bimbang kalau-kalau sesuatu yang lebih buruk terjadi.
Semasa berada dalam kereta, telefon bimbitnya berbunyi lagi. Satu lagi sms daripada kawan yang sama masuk.
“Begitulah sifat manusia kalau Islamnya hanya pada nama. Berilah peringatan banyak mana sekalipun, perangai tidak berubah juga. Sudahlah jahil tapi tak sedar dirinya jahil. Itulah jahil murakkab namanya. Kalau diri sendiri tak hendak berubah, jangan salahkan orang lain! Jangan salahkan ulama pula!”
Hazman benar-benar rasa terpukul dengan kiriman sms yang terakhir itu. Dia malas hendak menjawabnya meskipun hatinya begitu geram.
Sebaik saja tiba di rumah, telefon rumah berdering kuat. Laila meluru masuk untuk menyambut panggilan entah daripada siapa yang menelefon lewat-lewat malam begini.
“Hallo! Assalamualaikum!” sapa Laila.
“Waalaikumusalam! Mama belum tidur lagikah? Papa ada kat rumahkah?”
“Belum. Baru sampai balik dari stadium. Kenapa telefon lewat-lewat malam begini? Ada apa?” tanya Laila, bertalu-talu.
Selepas makan agak lewat malam, dalam bilik tidur, Laila menyatakan hasrat anaknya pada Hazman yang baru saja hendak melabuhkan tubuhnya di atas katil.
“Abang! Hasmaya cakap kawan lelakinya nak hantar orang merisik terus meminang hujung minggu ni. Abang setuju tak?” tanya Laila.
“Siapa lelaki tu? Orang mana? Kerja apa?” tanya Hazman, bertubi-tubi.
“Teman sepengajian katanya. Orang Kota Baharu.”
Hazman terkedu. Apa yang disampaikan isterinya bagaikan halilintar yang membelah bumi. Kegelapan malam begitu menghantui. Entah jam berapa dia tertidur setelah begitu penat mencongak nasib masa depan satu-satunya anak tersayang.
Nukilan: Ainurjah Tarikh: 23 Mei 2011
0 comments:
Post a Comment