Subscribe:

Monday, August 1, 2011

Pencarian Belum Bernoktah

Jusoh tiba di surau Kg. Kubang Menerung ketika azan maghrib sedang berkumandang melalui pembesar suara yang sudah agak usang. Suara bilal yang lunak mendayu-dayu itu sekejap-sekejap diganggu oleh bunyi bising yang membingitkan telinga dari amplifier yang sudah lama rosak tetapi tidak mampu diganti baru.

Tanpa berlengah, Jusoh terus ke tempat wuduk di luar surau. Dedaun kering, baru dan lama, yang jatuh dari dahan-dahan mempelam berselerakkan di mana-mana. Agaknya, lama juga tempat wuduk itu tidak dibersihkan, fikir Jusoh.

Dia memutar habis kepala pili. Pun begitu, airnya sekadar meleleh perlahan. Jusoh terpaksa memperlahankan rentak basuhan dan sapuan air ke seluruh anggota wuduknya. Sehingga selesai azan, Jusoh masih belum lagi siap berwuduk.

Lepas iqamah, imam segera mengangkat takbiratul ihram. Jusoh bergegas menyambung saf yang tidak berapa panjang. Setelah tetap berdiri, Jusoh turut mengangkat kedua belah tangannya sambil melafazkan kalimah ‘Allahu Akbar’ dengan penuh rasa khusyuk. Sesungguhnya hanya sanya, Allah saja Yang Maha Besar. Tiada lain yang lebih besar melainkan Allah Yang Maha Besar. Demikian Jusoh merasakan dirinya begitu kerdil di hadapan Allah selaku seorang hamba.

Usai membaca doa iftitah, Jusoh cuba menumpukan seluruh perhatian terhadap bacaan Fatihah imam dengan penuh penghayatan. Namun kekhusyukan hati Jusoh hanya buat seketika. Selepas mengaminkan Fatihah bersama imam dan beberapa kerat makmum, ketika imam mula membaca surah Al Lail, kotak fikiran Jusoh mula menerawang ke seantero ruang alam kehidupan silamnya yang penuh duka.

Sesungguhnya kehidupan di dunia yang sementara ini menyimpan dendam perasaan Jusoh yang begitu lama. Bukan sekejap malah sudah berpuluh tahun. Sekian lamanya Jusoh berusaha menjejaki Seman yang tiba-tiba menghilangkan diri selepas satu peristiwa tragis pada suatu malam. Sejak itu pencariannya bermula.

Tanpa diduga, kira-kira sebulan lepas, ketika singgah sebentar di Hentian R & R Nilai, Jusoh terserempak dengan kawan lamanya yang kebetulan dalam perjalanan balik dari Utara kerana cuti hari raya. Kawannya itu telah mengkhabarkan bahawa dia pernah terserempak dengan orang seiras Seman yang digambarkan oleh Jusoh itu. Khabarnya dia tinggal di Kg. Kubang Menerung itu.

Sesungguhnya berita itulah yang membawa dia sampai menjejak kaki di kampung terpencil itu. Sejak mendapat berita itu hati Jusoh tidak pernah tenang. Kepingin sungguh hasratnya hendak bersua muka dengan Seman. Penangan dendam lamanya bukan kepalang. Seksa menanggung dendam yang membengkak kembali itu begitu perit. Dia ingin membuat perhitungan terakhir yang tertunda sekian lama dengan Seman. Kini sudah tiba masa agaknya Jusoh perlu melunaskan hutang lamanya itu.

Memandangkan Kg. Kubang Menerung terletak jauh di Utara, Jusoh mengambil keputusan berkelana seorang diri bagi mengesan orang yang dicari-cari selama ini. Pun begitu, di celah-celah sudut hatinya terselit rasa kurang pasti betulkah Seman tinggal di situ. Berita yang menyatakan bahawa kelibat Seman dilihat di kampung itu pun dipungut dari khabar seorang kawan lama yang belum tentu sahih.

Kalaulah orang itu bukan Seman, sia-sia saja aku berkelana begini jauh, fikir Jusoh. Tapi tak mengapa, pujuk hati kecil Jusoh. Yang penting aku mesti terus berusaha mencari. Kalau tak ketemu juga, apa boleh buat. Itu sudah tiada rezeki namanya. Manalah tahu kalau-kalau orang yang sekian lama dicari benar-benar bertapuk di kampung terpencil daerah pedalaman ini, getus hati Jusoh, sedikit lega.

Sedikit kisah tentang Seman. Jusoh berkawan baik dengan Seman sejak di bangku sekolah rendah lagi. Persahabatan mereka seakrab isi dengan kuku, seserasi mata hitam dengan mata putih. Malangnya, sejak peristiwa penuh tragis malam itu, Jusoh mengisytiharkan Seman bagaikan musuh ketat hingga ke akhir hayat.

“Sungguh-sungguh aku tak sangka, Seman. Kau sanggup buat kerja khianat macam ni pada aku,” rungut Jusoh, penuh kesal.

“Bukan niat aku hendak mengkhianati kau, Jusoh. Aku diperangkap. Aku, …”

“Aah! Sudah! Sudah!” potong Jusoh sebelum sempat Seman menjelaskan duduk perkara yang sebenar.

Malam itu juga Seman diheret oleh orang kampung ke rumah Pak Imam Lebai Mail untuk diijabkabulkan dengan Tijah, kekasih Jusoh.

Selepas dinikahkan secara tangkap basah, kerana kedapatan berkhalwat di rumah Tijah, Seman menghilangkan diri malam itu juga sewaktu embun jantan mula menitis. Isterinya yang dijodohkan secara paksa itu telah ditinggalkan terumbang-ambing seorang diri tanpa teman.

Kasihan Tijah yang terpaksa mengharungi arus kehidupan yang melanda sendirian. Emak bapanya telah lama meninggal akibat kemalangan jalan raya yang cukup ngeri. Waktu itu Tijah masih berhingus lagi. Selepas tragedi pilu dan hiba itu, Tijah dibesarkan oleh datuk dan neneknya yang sudah bergelar warga berusia kini.

“Atuk! Nek! Lepaskan Tijah pergi. Tijah malu nak tinggal di kampung ni lagi. Percayalah, Atuk! Nek! Kami tak buat apa-apa pun. Tapi kami tak sempat nak beritahu orang kampung. Segalanya berlaku dengan pantas. Kami terperangkap,” rintih Tijah di hadapan datuk dan neneknya di suatu malam yang penuh syahdu kira-kira seminggu selepas diijabkabulkan.

“Entahlah, Tijah! Kami tak tau nak kata apa-apa lagi. Terpulang pada kaulah. Tapi… Atuk dan Nek nak tahu juga. Kau nak pergi mana? Nak tinggal dengan siapa?”

“Atuk dan Nek jangan bimbang. Di Kuala Lumpur sana, Tijah ada kawan semasa belajar di universiti dulu. Dia kawan baik Tijah. Tijah tahu di mana rumahnya. Tijah akan hubungi dia. Tijah boleh minta dia tolong carikan kerja untuk Tijah. Dia tentu boleh bantu Tijah. Sementara mendapat kerja, bolehlah Tijah tinggal di rumahnya dulu.”

Demikian Tijah menghuraikan sebuah perencanaan demi meyakinkan datuk dan neneknya di malam penuh sejarah itu. Tijah tidak berapa kisah sama ada rancangannya itu akan berjaya ataupun tidak. Apa yang penting ialah dia tidak sanggup lagi tinggal sekampung dengan Jusoh, kekasih awal dan terakhir. Malunya pada semua orang tidak terkira. Apatah lagi ketika bertentangan mata dengan Jusoh sewaktu terserempak di jalanan.

Paling tidak sanggup Tijah hadapi ialah kalau Jusoh datang mencarinya di rumah untuk meminta penjelasan atas apa yang terjadi. Bagaimana dia hendak meyakinkan Jusoh bahawa dia tidak pernah melakukan apa-apa yang tak senonoh dengan Seman, fikir Tijah.

Jusoh pasti akan datang mencari Tijah bila-bila masa saja. Jusoh bukan tidak pernah datang ke rumah Tijah. Malah Jusoh selalu datang terutama waktu-waktu datuk dan neneknya tiada di rumah. Kehadiran Jusoh di rumah Tijah tanpa ditemani sesiapa telah lama diintip oleh orang-orang kampung. Pada sangkaan Jusoh dan Tijah, orang kampung tidak ambil kisah tentang hal mereka.

Kini sangkaan mereka terbukti meleset. Orang kampung bertindak secara terancang untuk memerangkap mereka. Akhirnya Tijah tertangkap juga dengan tuduhan berkhalwat. Malangnya, dia tertangkap bersama Seman, bukan bersama kekasihnya. Sesungguhnya manusia merancang, Allah yang menentukan segalanya. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang telah terjadi.

Selepas seminggu dinikahkan, dengan perasaan penuh hiba dan pilu, berserta hati yang begitu berat dan sayu, Tijah melangkah jua meninggalkan kampung halaman serta datuk dan nenek tersayang. Dibawanya hati nan luka bersama rahsia peribadi yang tidak mampu diceritakan pada sesiapa. Tiada siapa pun yang tahu akan kepergian Tijah selain daripada datuk dan neneknya.

Maka tinggallah Jusoh sendirian menghitung lembaran hari dalam hidupnya yang kosong tanpa kekasih yang telah menyemai benih cinta suci sejernih titisan embun di kedinginan dinihari. Tijah jugalah yang telah menganyam seribu janji dan harapan buat membina mahligai impian di puncak cita. Sesungguhnya kini keghairahan semangat yang mencetuskan impian penuh keindahan itu telah menyepi dalam diri Jusoh seiring dengan harapan yang hancur berkecai bersama pemergian Tijah yang tidak kunjung kembali. Cakap-cakap orang kampung yang sampai ke telinga Jusoh menyatakan bahawa Tijah telah berpindah dari kampung Bukit Rambai.

Demikianlah tragisnya peristiwa yang terjadi ke atas hidup insan apabila mereka menafikan hukum dan adat tatasusila yang mengatur urus kehidupan mereka. Sesungguhnya hidup ini adalah proses membuat pilihan. Apabila sesuatu pilihan sudah dibuat, sebarang risiko yang menyusul kemudian pasti akan ditanggung sendiri. Justeru, jangan menyalahkan sesiapa kalau kita kecundang di pertengahan jalan kehidupan ini.

Sungguh jauh lamunan Jusoh ketika imam bersama makmum yang lain sedang tekun menyempurnakan solat mereka. Sambutan amin makmum yang panjang mengekori amin imam pada hujung bacaan Fatihah yang kedua telah menyentak fikiran Jusoh yang menerawang. Lantas, hatinya tidak putus-putus beristighfar lalu memohon keampunan Ilahi kerana lalai ketika solat. Dia cuba mengumpulkan kembali seluruh daya fikir dan perasaannya untuk memberi sepenuh tumpuan sepanjang rakaat yang berbaki.

Usai solat di surau daerah asing itu, Jusoh bersalam-salaman dengan para jemaah yang seorang pun tidak dikenali. Perlahan-lahan, lepas seorang, seorang lagi membuka langkah meninggalkan surau menyusuri imam yang terlebih dulu beredar. Mereka semacam tidak berapa ambil kisah sangat dengan kehadiran Jusoh di kampung itu. Ketika dia hendak melangkah ke keretanya, tiba-tiba dia disapa dari belakang.

Assalamualaikum! Saudara dari mana? Hendak ke mana?”

Waalaikumussalam! Oh, ya! Saya Jusoh. Datang dari kampung. Nak cari kawan,” jawab Jusoh, ramah.

“Kampung Jusoh di mana? Siapa nama kawan yang dicari tu?”

“Dari Melaka. Kampung Bukit Rambai… Saudara ni…?”

“Saya Seman, bilal di surau kampung ni.”

Jusoh tersentak. Berderau darahnya seketika. Air mukanya tiba-tiba pucat. Mendengar bilal memperkenalkan dirinya sebagai Seman, Jusoh benar-benar terkedu.

Inikah dia orang yang aku cari-cari selama ini, fikir Jusoh. Tapi, mengimbas kembali wajah bilal dalam samar-samar cahaya lampu kalimantang yang menempiasi dari koridor rumah berhadapan surau, sedikit pun tidak menyerupai rupa paras Seman. Susuk tubuhnya pun tidak semacam Seman yang lama dikenali. Seman sederhana tinggi. Bilal pendek. Meskipun sudah begitu lama tidak bersemuka, namun Jusoh masih ingat lagi raut wajah Seman yang sebenar.

“Boleh saya tanya sekali lagi tak? Siapa nama kawan yang Jusoh cari tadi tu?”

“Namanya serupa macam nama saudara. Seman juga. Dia pun dari Melaka juga. Sekampung dengan saya.”

“Jusoh ada kenal sesiapa tak di kampung ni?” tanya bilal, menukar topik.

“Tak ada,” jawab Jusoh, ringkas.

“Habis, malam ni Jusoh nak tidur di mana?”

Jusoh terdiam. Ya tak ya juga. Aku nak tidur di mana malam ini ya, fikir Jusoh.

“Beginilah! Malam ni, Jusoh tidur di rumah saya. Malam-malam begini susah sikit nak cari apa-apa. Pagi esok baru kita usaha mencari,” cadang bilal.

Syor bilal yang bagus itu membuat Jusoh buntu tanpa pilihan untuk menolak. Lalu bilal pun beredar dengan Jusoh mengekori dari belakangnya yang menunggang motosikal Honda Wave RX5 yang agak baru.

Di rumah bilal, waktu makan malam. Bilal cuba memadankan segala maklumat tentang diri Seman yang dicari Jusoh sekian lama. Yang anehnya, kebanyakan maklumat itu bertepatan pula dengan diri batang tubuh imam surau Kg. Kubang Menerung. Rupa bentuk susuk tubuhnya, raut wajahnya, gaya bercakap dan ketawa, serta kegemaran dan hobi yang digambarkan tentang diri Seman semuanya menepati ciri-ciri yang ada pada imam di surau kampungnya itu. Cuma namanya saja yang tidak sama.

“Mungkin tak Seman yang Jusoh maksudkan tu telah menukar namanya sejak datang ke daerah ini?” tanya bilal. "Di kampung ni, kami panggil dia imam Karim."

Soalan bilal menyebabkan Jusoh terdiam sejenak. Boleh jadi juga Seman menukar namanya agar dia sukar dijejaki, fikir Jusoh.

“Beginilah Jusoh, ya! Esok pagi, ikut saya ke surau. Kita solat bersama-sama sekali lagi. Selepas solat Subuh, biasanya imam akan memberi sedikit tazkirah. Masa tu, bolehlah Jusoh cam betul-betul adakah orang yang Jusoh cari-cari itu benar-benar imam surau kami,” cadang bilal sementara Jusoh masih diam membisu.

Sesungguhnya masa tidak menunggu sesiapa. Detik yang dinanti tiba jua keesokan paginya. Selesai solat subuh, dari belakang makmum di hadapannya, Jusoh cuba mengintai sungguh-sungguh akan wajah pak imam yang sedang memberi tazkirah. Ditenungnya mata imam, hidungnya, keningnya, bibir mulutnya, giginya serta janggutnya yang sejemput itu. Alunan suara imam pula Jusoh amati betul-betul.

Gambaran wajah Seman yang terpahat sekian lama dalam ingatannya kini silih berganti dengan wajah imam yang duduk bersimpuh kira-kira dua depa di hadapannya. Pipinya yang dulunya sedikit kempis kini sudah berisi. Dulunya Seman tidak menyimpan janggut. Lilitan kemas serban di kepala melengkapkan wajah seorang imam yang alim lagi warak. Wajah Seman yang terpeta di layar ingatan Jusoh sekian lama kini beransur-ansur sirna dan terpadam.

Bulat hati Jusoh menyatakan bahawa memang tak syak lagi imam yang sedang memberi tazkirah di pagi yang hening itu ialah Seman yang pernah ia kenal. Ya! Jusoh yakin benar bahawa itulah manusia yang dicari-cari selama ini.

Selesai tazkirah, ketika semua anak jemaah telah beredar, Jusoh memberanikan diri, mengejar imam dari belakang dengan keyakinan hati yang tidak berbalah bahagi.

Assalamualaikum! Imam tak kenal saya lagikah?” sapa Jusoh, penuh sopan.

Waalaikumusalam!” sahut imam, pendek.

Lalu batang tubuh Jusoh yang tercegat di hadapannya ditatap penuh tanda tanya.

“Bila Jusoh sampai? Nak ke mana ni?” tanya imam tanpa ragu-ragu.

“Sampai senja semalam. Nak jumpa imamlah.”

“Jemputlah ke rumah. Kita boleh berbual panjang di sana nanti,” pelawa imam.

Di teratak imam yang serba sederhana, Jusoh mencongak semula perhitungan yang ingin dibuat dengan Seman yang kini sudah bergelar imam. Perhitungan itulah yang membawa dia berkelana begini jauh. Kepingin sungguh Jusoh hendak menatap wajah bekas kekasihnya yang sudah menjadi isteri Seman. Bertuah sungguh Tijah berkahwin dengan Seman yang sudah bergelar pak imam kini.

Setelah agak lama juga berbual, akhirnya Seman sendiri yang ke dapur. Seketika Seman keluar semula dengan membawa dua biji cawan kopi panas.

“Mana Tijah?” tanya Jusoh tanpa segan silu.

“Jusoh tak tahu ke? Tijah, aku tinggalkan malam itu juga, malam kami diijabkabulkan. Aku rasa ralat dijodohkan dengan kekasih orang. Malam itu, kau tak beri peluang pada aku menceritakan perkara sebenar. Orang kampung pula bertindak tanpa usul periksa.”

“Jadi, Tijah di mana sekarang?” sambar Jusoh.

“Jusoh! Jadi kau datang berjumpa aku ni kerana hendak bertanya khabar tentang Tijahlah? Kalau kau masih ada urusan yang belum selesai dengan Tijah, kau pergilah cari dia. Aku tak ada apa-apa kaitan lagi dengan bekas isteriku itu.”

Jusoh buntu. Di mana hendak dicari Tijah, fikir Jusoh. Kedua-dua orang tua yang menjaga Tijah sudah lama meninggal. Fikiran Jusoh bertambah gawat. Hajatnya untuk bertemu Tijah di rumah Seman hancur. Jusoh sangka Tijah masih hidup bersama Seman. Rupa-rupanya Seman telah menceraikan Tijah.

Kenapakah Tijah tidak kembali pada Jusoh setelah ditinggalkan Seman? Apakah yang Tijah fikirkan masa itu? Adakah cinta Tijah pada Jusoh bak air di daun keladi? Pabila tersentuh, dahannya bergoyang, air pun tertumpah, tercurah habis, tak tinggal lagi.

Di manakah Tijah sekarang? Itulah yang Jusoh fikirkan sangat. Kepingin sungguh Jusoh hendak bertemu dengan Tijah. Ada rahsia besar yang ingin diketahuinya daripada Tijah. Rahsia itu hanya Tijah saja yang dapat rungkaikan. Selebihnya Jusoh ingin bertaubat nasuha atas segala dosanya bersama Tijah di masa lampau. Jusoh juga ingin minta maaf atas kesalahan yang dilakukan ke atas diri Tijah. Itulah hutang yang ingin dilunaskan sebelum ajal menjemput. Kalau ada jodoh, Jusoh ingin memperisterikan Tijah. Mudah-mudahan akan termakbul permintaan Jusoh di hujung pencarian yang masih belum bernoktah.

Nukilan: Ainurjah Tarikh: 22 Julai 2011

0 comments:

Post a Comment