Lebai Man mengumpul sisa-sisa kudrat yang tinggal buat menghabiskan kayuhan. Melalui laluan pintas sepanjang lorong-lorong keras berkerikil di atas batas bendang yang sudah seminggu tidak dijamah hujan buat Lebai Man rasa kayuhannya begitu mencabar. Terik mentari petang pula terus membakar tanpa simpati. Meskipun keletihan kerana berpuasa, Lebai Man terpaksa juga menyudahkan kayuhan. Semuanya gara-gara perkhabaran kawan karibnya petang kelmarin bahawa beliau ternampak puding jagung kegemaran Lebai Man dijual di Bazar Ramadan Simpang Pokok Petai.
Di hujung kawasan sawah, Lebai Man kini tiba di persimpangan ke jalan besar.
“Tinggal setengah batu saja lagi,” bisik hati kecil Lebai Man.
Lima minit berkayuh, Lebai Man tiba di pintu pagar masjid As-Syakirin. Lebai Man lantas membelok masuk ke halaman masjid ketika azan asar sedang dilaungkan. Usai solat, Lebai Man mencuri masa sejenak untuk melabuhkan punggungnya di sudut paling belakang sambil berniat iktikaf. Seperti biasa, dengan hati penuh kudus dan tulus, dia melafazkan kalimah istighfar seratus kali, diiringi ratusan kali kalimah tasbih, tahmid, tahlil dan takbir. Tidak lupa juga bibirnya menitipkan solawat ke atas Nabi tanpa putus-putus.
Di hujung iktikaf, dia berdoa, “Ya Allah, ya Rabbi! Aku mohon keampunan-Mu atas segala dosa dan kesalahan yang pernah aku lakukan. Ya Allah! Terimalah segala amalanku sepanjang Ramadan ini. Di hujung usiaku begini, Ramadan kali ini mungkin yang terakhir buatku, ya Allah! Ya Tuhanku! Aku mohon pada-Mu, ya Allah, agar dipertemukan dengan lailatulqadr sepertimana yang Engkau janjikan. Amin, Amin. Ya Rabbal’alamin!”
Jam sudah hampir lima setengah. Lebai Man tergesa-gesa mencapai basikal tuanya. Dia pantas menongkah pedal menuju destinasi yang dituju. Selepas menyandarkan basikal buruknya pada sebatang pohon jati di pinggir jalan, Lebai Man meloloskan batang tubuhnya yang kecil kemetot melalui celah-celah kesibukan pengunjung bazar bermusim itu. Selepas jenuh berhimpit-himpit, akhirnya dia tiba juga di gerai paling hujung yang diberitakan terdapat pelbagai jenis kuih tradisional di situ.
Bola mata Lebai Man ligat berputar mencari kuih kegemarannya. Sekonyong-konyong, pandangannya terpaku pada puding idamannya yang cuma berbaki sebiji sahaja lagi.
“Bagi saya puding tu,” minta Lebai Man agak kuat di tengah kebisingan suasana.
“Maaf, pak cik! Dah habis,” balas gadis jurujual yang bertudung kepala fesyen terkini.
“Yang itu dah ada orang ambilkah?” tanya Lebai Man sambil menunjukkan jarinya ke arah satu-satunya puding yang tinggal.
Setelah dibungkus rapi dan dimasukkan ke dalam beg plastik, gadis jurujual menghulurkan puding idaman Lebai Man kepada pembeli yang juga seorang gadis di hujung usia remaja. Pandangan mata Lebai Man tertumpu pada beg plastik puding yang berpindah tangan kini. Gadis itu melemparkan senyuman puas kepada Lebai Man yang membalasnya dengan senyuman kecewa. Kerana terlewat beberapa saat sahaja, puding idaman terlepas dari miliknya.
“Gara-gara beriktikaf lama sangat di masjid tadi langsung aku terlepas puding yang aku idamkan,” rungut hati kecil Lebai Man, hampa.
“Tapi tak mengapa. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi,” pujuk hati kecilnya. “Esok aku akan datang lebih awal. Puding itu pasti menjadi milik aku esok,” tekad Lebai Man tidak berputus asa.
Lebai Man pasrah dengan ketentuan Allah. Bukankah setiap yang terjadi itu dalam perancangan-Nya? Tidak semua yang kita inginkan akan menjadi milik kita tanpa izin-Nya. Dengan rasa terbuku di hati, dia mengayuh basikalnya longlai menuju ke rumah.
Di malam terakhir itu, selepas menunaikan solat witir penutup amalan seperti pada malam-malam yang berlalu, Lebai Man terus masuk bilik kerana bimbang tidak cukup tidur sebelum bangun semula di hujung malam untuk berqiamullail. Pun begitu, matanya tidak mudah dilelapkan. Senyuman gadis akhir remaja yang merampas puding kegemarannya di bazar Ramadan petang tadi terlukis indah di kanvas ingatannya kini.
“Siapakah si gadis jelita tu? Anak siapakah dia? Alangkah bahagianya aku kalau anak gadisku masih hidup. Liuk lintuk gadis petang tadi, alunan suaranya, senyumannya serta lirik pandangan matanya saling tak tumpah macam Siti Amirah, anak kesayangan aku. Kalau dia mahu, boleh aku jadikan dia isteriku. Aku pun dah lama hidup membujang ni. Ibu Amirah pun tak panjang juga umurnya. Kalau dah kena barah payudara tu, tak banyak orang boleh bertahan.”
Lebai Man mengelamun jauh sampai tidak sedar pukul berapa dia terlelap.
Tepat sepertimana yang dikunci, jam penggerak berdering panjang. Lebai Man bingkas bangun meninggalkan tempat tidurnya. Rasa macam baru sekejap aku tertidur, bisik hati kecilnya, lirih.
Dengan keadaan dirinya yang sedikit keletihan akibat tidak cukup tidur, Lebai Man terpaksa bergegas ke surau kampungnya untuk memimpin qiamullail beberapa orang anak jemaah yang kesemuanya terdiri daripada warga lanjut usia yang masih bersemangat menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan.
Seperti petang kelmarin, Lebai Man melabuhkan punggungnya yang sejemput di penjuru masjid As-Syakirin untuk beriktikaf lagi. Sememangnya orang lelaki mukmin digalakkan banyak beriktikaf di masjid pada sepuluh Ramadan yang terakhir. Itulah amalan Nabi kita. Leka berzikir dalam keadaan badan yang keletihan akibat kurang tidur malam tadi, Lebai Man tidak menjangka bahawa ia akan tertidur di tempat duduknya di rumah Allah itu.
Dalam kekalutan yang melampau, Lebai Man memecut basikal tuanya habis meter menuju bazar Ramadan Simpang Pokok Petai yang terletak tidak sampai dua ratus meter dari masjid. Hendaknya, jangan aku terlepas peluang terakhir ini untuk menjamah puding jagung kegemaranku, getus hati kecil Lebai Man.
Setibanya di bazar yang masih sibuk itu, basikal tuanya dicampaknya tanpa peduli. Dia meluru ke gerai yang sama. Tahun-tahun sebelum ini, Siti Amirahlah yang selalu menemaninya ke bazar Ramadan. Tapi, Siti Amirah sudah kembali menjelang Syawal tahun lalu akibat satu kemalangan motosikal yang melibatkan sebuah lagi kenderaan. Pertembungan secara berdepan itu telah meragut nyawa anak Lebai Man.
Semacam seperti sudah diatur, sekali lagi dia terserempak dengan gadis yang sama yang tetap melemparkan senyuman seperti kelmarin. Alangkah manis dan ayunya gadis ini dengan berpakaian serba putih itu. Pun begitu, kali ini lain pula takrifan Lebai Man terhadap gadis bermata galak itu.
“Pakcik nak pudingkah? Kalau nak, ikut saya,” kata gadis yang sederhana tinggi itu.
“Tak mengapa. Pakcik boleh beli kat gerai kelmarin tu,” balas Lebai Man.
“Mana ada lagi. Dah habis. Ini puding yang terakhir,” sambut si gadis, penuh santun. “Saya tahu, pakcik memang suka puding jagung kan?”
Hairan juga Lebai Man macam mana si gadis pingitan itu tahu akan citarasa dan kegemarannya.
“Boleh pakcik bertanya sikit tak?” soal Lebai Man, keras.
“Pakcik nak tanya apa?” balas si gadis sunti, acuh tak acuh.
“Siapa nama kamu?” sergah Lebai Man agak kuat, menongkah kebisingan suara pengunjung di puncak kegembiraan menyambut 1 Syawal.
“Siti Afiqah. Panggil saya Siti saja... Kenapa pakcik nak tahu nama saya?”
“Kamu anak siapa? Tinggal kat mana?” aju Lebai Man lagi, bertubi-tubi.
“Bapa saya, ... er, er. Entah!” jawab Siti Afiqah, teragak-agak dengan wajah sedikit sugul. “Saya tinggal di hujung kampung sana.”
Lebai Man terkedu. Kenapa air muka budak ni berubah warna bila aku tanya siapa bapanya, fikir Lebai Man.
“Mari cepat, pakcik! Jangan fikir lama-lama. Mari ikut saya kalau pakcik nak puding jagung kegemaran pakcik,” pelawa Siti Afiqah, sambil menarik tangan Lebai Man.
Lebai Man terasa batang tubuhnya melayang-melayang di awang-awangan apabila dirangkul tangannya oleh Siti Afiqah.
“Siti! Nanti, nanti dulu! Basikal pakcik di sebelah sana,” bantah Lebai Man, sambil kedua bibirnya dimuncungkan ke arah tempat di mana dia mencampakkan basikal tuanya tadi.
Siti Afiqah masih merangkul tangan Lebai Man erat.
“Tak payah naik basikal. Tumpang motor saya,” cadang Siti Afiqah.
“Tapi, kita nak ke mana, Siti?” tanya Lebai Man, ragu-ragu.
“Ikut sajalah, pakcik. Nanti saya hantar pakcik balik ke sini,” desak Siti Afiqah, gadis ganjil dan pelik. Baru dua kali berjumpa sudah ajak tumpang di belakang motor.
Akhirnya, Lebai Man terpaksa akur dan mengalah. Lalu, tanpa berlengah lagi, dia pun celapak belakang motor Siti Afiqah.
“Sudah, pakcik? Pegang kuat-kuat. Nanti terjatuh pula,” pesan Siti Afiqah.
Sebaik saja Lebai Man meletakkan punggungnya dengan stabil dan tetap di atas tempat duduk belakang, Siti Afiqah terus memecut Honda Wave 125 yang masih baru itu. Lebai Man menukuh kemas besi pemegang di belakangnya dengan kedua belah tangannya. Boleh tahan juga budak ni menunggang motosikal. Minah Rempit kot, duga hati kecil Lebai Man.
“Jaga nak! Lori di hadapan tu,” jerit Lebai Man.
Di kiri, kereta. Di hadapan, lori. Siti Afiqah meloloskan motosikalnya di celah-celah kenderaan tersebut. Kecut perut Lebai Man seketika.
“Nasib baik aku tak sakit jantung. Kalau tidak, tak tahulah apa akan terjadi,” getus hati kecil Lebai Man, lega.
Siti Afiqah kini membelok masuk ke jalan tar mini di hujung kawasan sawah bendang menuju ke kampung Jejawi Hutan Buluh. Lorong menjadi semakin sempit. Waktu maghrib berbaki beberapa minit saja lagi. Suasana keliling beransur gelap.
“Di mana aku hendak berbuka puasa? Dengan apa aku hendak berbuka sedangkan aku tak sempat beli apa-apa pun di bazar Ramadan tadi kerana asyik melayan karenah Siti Afiqah?” fikir Lebai Man.
Kini Siti Afiqah melimpasi di hadapan sebuah surau lama di hujung kampung. Sayup-sayup kedengaran suara azan dilaungkan dari dalam surau tanpa menggunakan pembesar suara. Yang peliknya, Lebai Man tidak nampak seorang manusia pun di surau itu. Surau yang kelihatan gelap saja dari luar itu nampak sungguh menyeramkan. Bulu roma Lebai Man tiba-tiba berdiri.
“Astaghfirullahalaziim!” ucap hati kecil Lebai Man, penuh syahdu.
“Pakcik! Kita berbuka di sini saja. Pakcik buka dulu. Saya hendak ke belakang sekejap,” ujar Siti Afiqah.
Belum sempat Lebai Man meminta Siti Afiqah agar berbuka bersama, gadis itu sudah pun menghilangkan dirinya di kawasan perkuburan berhampiran surau lama tadi dengan meninggalkan puding jagung kegemaran Lebai Man bersamanya.
“Ya Allah! Apa sudah terjadi ni? Mana Siti Afiqah? Mana motosikalnya?”
Tanpa berlengah, Lebai Man membuka langkah seribu menuju ke simpang jalan besar tempat Siti Afiqah membelok tadi. Lebai Man hanya sempat berbuka dengan air liurnya saja. Dalam keadaan malam yang semakin bertambah gelap, Lebai Man meredah apa saja di hadapannya melalu segenap lorong dan liku. Dalam keadaan ketakutan melampau begitu, Lebai Man tidak ingat lagi akan perutnya yang kosong kerana berpuasa sepanjang hari. Puding jagung kegemarannya juga ditinggalkan begitu saja di bawah pokok ketapang tempat Siti Afiqah berhenti tadi.
“Nak! Kenapa buat gini pada ayah nak?” bisik hati kecil Lebai Man mengenangkan Siti Amirah.
Lebai Man tersentak ketika bahunya disentuh orang.
“Jemput berbuka sekali,” pelawa tok siak masjid As-Syakirin.
Nukilan: Ainurjah
Tarikh: 31 Ogos 2011
Wednesday, August 31, 2011
Misteri Sebiji Puding
Labels:
cerpen,
kisah misteri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment