Subscribe:

Tuesday, September 13, 2011

Pelangi Kejayaan: Prasyarat 1 - Matlamat (210199)

Matlamat (merujuk kepada warna pelangi yang pertama iaitu Merah) merupakan elemen terpenting dalam mencapai sesuatu kejayaan. Matlamat bagaikan kompas dalam sesuatu pelayaran. Pelayaran tanpa kompas akan mudah hilang arah. Akhirnya destinasi yang hendak ditujui akan tersasar. Sesungguhnya kehidupan kita di alam buana ini adalah laksana sebuah pelayaran di lautan yang luas. Jika matlamat sesuatu pelayaran ialah pelabuhan yang hendak ditujui, begitulah juga dengan tujuan hidup kita iaitu matlamat yang hendak dicapai.

Matlamat menggerakkan kita agar melakukan tindakan. Namun, menetapkan sesuatu matlamat menuju kejayaan bukanlah suatu kerja yang mudah. Kalau kita mengambil sikap acuh tak acuh semasa menetapkan matlamat, matlamat itu amat sukar ataupun boleh jadi tidak mungkin dapat dicapai. Akhirnya, kejayaan yang dicadang, kegagalan yang bertandang.

Matlamat boleh bersifat jangka pendek, sederhana mahupun panjang. Contohnya, matlamat saya ialah lulus dengan cemerlang dengan mendapat enam ‘A’ dalam SPM (jangka pendek) untuk membolehkan saya melanjutkan pelajaran ke kolej universiti dan seterusnya ke universiti (jangka sederhana). Akhirnya saya ingin menjadi seorang guru yang akan mendidik anak bangsa mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan mereka (jangka panjang).

Kita boleh mempunyai banyak matlamat dalam hidup. Namun, biarlah kita mencapai sesuatu matlamat dahulu sebelum kita meletakkan matlamat yang lain. Mempunyai beberapa matlamat dalam sesuatu masa akan menyukarkan usaha mencapai kejayaan. Kita akan hilang fokus sehinggakan kita tidak tahu mana satukah matlamat yang harus diberi tumpuan.

Sesuatu matlamat yang baik hasruslah memenuhi kriteria berikut:-
i.. ‘Specific’ atau khusus - S
ii. ‘Measureable’ atau boleh diukur - M
iii. ‘Attainable’ atau boleh dicapai - A
iv. ‘Reasonable’ atau logik - R
v. ‘Time-bound’ atau berjangka masa - T
Kriteria di atas bolehlah disimpulkan sebagai satu perkataan yang mudah diingat iaitu SMART.

Seperkara lagi, apa-apa matlamat yang ingin kita capai haruslah ditulis dengan jelas agar memenuhi kriteria di atas. Contohnya:-
i. “Matlamat hidup saya ialah untuk menjadi seorang insan yang baik.” Matlamat ini tidak cukup jelas daripada segi kaedah bagaimana mahu menjadi insan yang baik itu, bilakah masanya anda akan menjadi insan yang baik dan sebagainya.
ii. “Matlamat saya ialah ingin menjadi seorang doktor perubatan yang memiliki sebuah klinik persendirian dalam tempoh sepuluh tahun dari sekarang dengan mendapat purata pendapatan RM 30 ribu sebulan.” Matlamat yang ditulis begini adalah jelas, logik, khusus, boleh dicapai dan boleh diukur serta mempunyai tempoh masa pencapaian.

Justeru, mulai hari ini, marilah bersama-sama kita menulis matlamat hidup yang ingin kita capai sama ada ia matlamat jangka pendek, sederhana mahupun panjang. Bagi pelajar, matlamat itu hendaklah ditulis dan ditampalkan dalam bilik belajarnya agar senang nampak. Ada juga yang menulis matlamat hidupnya dalam diari atau buku catatan harian agar dapat diulang lihat selalu. Tidak kiralah bagaimana anda menyimpan matlamat hidup anda. Yang pentingnya matlamat itu sentiasa segar dalam memori anda.

Ainurjah: 13 Sept 2011

2 comments:

Unknown said...

yg penting usaha serta tawakkal pd Allah

ainurjah said...

Baru episod 1. Bab tu tak sampai lagi.

Post a Comment