Subscribe:

Sunday, September 18, 2011

Pelangi Kejayaan: Prasyarat 3 - Kerja Keras (150499)

Jika saya ingin memperolehi sesuatu kejayaan yang saya idamkan, saya harus bekerja keras sepanjang masa (merujuk kepada warna pelangi yang ketiga iaitu Kuning). Bekerja keras bermaksud bekerja bersungguh-sungguh, bekerja kuat dengan menggunakan segala daya upaya serta kekuatan yang ada pada diri saya. Diri saya dijadikan oleh Allah SWT penuh dengan potensi yang mampu meletakkan saya di puncak kejayaan. Saya dianugerahkan dengan potensi akal, jasad dan jiwa yang tidak terhingga kemampuannya. Dengan potensi-potensi ini, manusia mampu membongkar khazanah alam ini untuk maslahah kemanusiaan.


Seekor gajah yang lebih besar dan kuat tenaganya daripada manusia boleh dijinakkan untuk membantu manusia melakukan kerja-kerja yang tidak terdaya dilakukannya. Seekor harimau yang ganas pun dapat dijinakkan oleh manusia kerana kekuatan akal yang dimilikinya. Puncak gunung yang tinggi dilitupi awan, lautan dalam dan luas tidak bertepi, hutan belantara yang berkanopi tebal menutupi pancaran sinar matahari, semuanya mampu diterokai oleh manusia.

Dengan potensi kekuatan sejadi yang ada padanya, manusia mampu membina kehidupan yang bertamadun. Kejayaan yang dicapai oleh manusia sejak zaman berzaman adalah hasil kerja keras mereka yang tidak pernah kenal penat dan lelah. Begitulah bak kata orang bijak pandai; kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya; yang pepes tidak akan datang melayang, yang bulat tidak akan datang bergolek. Sesuatu kejayaan yang difikirkan haruslah diusahakan bersungguh-sungguh.

Sesungguhnya, kejayaan tidak semudah yang disangkakan. Kota Rom tidak dibina dalam sehari. Membentuk sebutir mutiara memerlukan masa begitu lama, mungkin berjuta tahun. Namun, kejayaan bukanlah sesuatu yang mustahil. Sesiapa saja boleh mengukir kejayaan buat dirinya. Cuma satu saja syarat yang dipelukan iaitu kerja keras, bekerja kuat dan bersungguh-sungguh.

Justeru, jika saya sanggup berjanji pada diri sendiri mulai saat ini untuk bekerja keras dan tidak bekerja secara sambil lewa atau acuh tak acuh bagaikan melepas batuk di tangga, kejayaan akan menjadi milik saya suatu masa nanti. Insyallah!

Ainurjah: 18 Sept 2011

0 comments:

Post a Comment