Tiga warna antara tujuh warna pelangi sudah pun kita sentuh dalam membicarakan tentang petua-petua menuju kejayaan. Bagi meneruskan perbincangan, marilah kita fokuskan perhatian kita terhadap warna keempat iaitu ‘hijau’ untuk membicarakan prasyarat seterusnya iaitu HIJRAH.
Kejayaan bukanlah sesuatu yang terlalu mudah untuk saya capai. Jika sesuatu kejayaan yang saya idamkan itu begitu senang dicapai, maka saya tidak akan merasai nikmat kejayaan tersebut. Kejayaan adalah sesuatu yang perlu saya fikirkan dan usahakan secara bersungguh-sungguh dan serius.
Jika saya benar-benar inginkan kejayaan dalam apa jua bidang yang saya ceburi, saya harsulah sanggup berpindah atau berhijrah. Konsep berhijrah yang dimaksudkan di sini menepati atau selari dengan konsep hijrah yang sudah diketahui dan difahami.
Bagi mencapai sesuatu kejayaan, saya haruslah bersedia untuk berpindah dari tempat tinggal dalam zon selesa saya ke tempat yang baru di mana kejayaan sedang menanti. Saya juga haruslah sentiasa bersedia untuk mengubah pemikiran dan perasaan atau lebih tepat lagi, sikap saya, jika saya bersungguh-sungguh mahukan kejayaan.
Jika saya masih rasa selesa dengan sikap saya yang negatif, dengan sentiasa melihat dunia dan kehidupan ini secara pesimis, saya tidak akan melakar sebarang kejayaan buat diri saya selagi mana saya tidak sanggup mengubah sikap saya itu.
Kesanggupan mengubah sikap dari negatif kepada positif akan mencetuskan petanda awal perubahan tingkah laku. Sekaligus, ini akan membawa perubahan kepada perangai atau tabiat saya yang kurang baik kepada yang lebih baik.
Umpamanya, jika saya sentiasa berfikir secara negatif dengan sering mengatakan pada diri saya sendiri bahawa saya ‘tidak boleh’, ‘tidak tahu’, ‘tidak mahu’, ‘tidak minat’, ‘tidak suka’, ‘tidak yakin’, ‘tidak berani’ atau terlalu fobia hendak melakukan sesuatu yang baru, maka sukar bagi saya melakar kejayaan yang diimpikan.
Inilah antara bentuk-bentuk pemikiran negatif yang sentiasa bersarang dalam minda saya sejak azali. Apabila saya hendak memulakan sesuatu kerja yang baru saja, maka benih-benih pemikiran negatif ini tiba-tiba bercambah dan menguasai pemikiran saya.
Pemikiran negatif yang sentiasa memerangkap minda saya ini haruslah ditentang habis-habisan mulai sekarang jika saya benar-benar inginkan kejayaan. Penghijrahan yang harus dilakukan ialah berfikir secara positif mulai sekarang.
Berfikir ssecara positif bermaksud menyatakan ‘saya boleh’, ‘saya mahu’, ‘saya yakin’, ‘saya suka’, ‘saya tahu’, ‘saya sanggup’, ‘saya berani’, ‘saya tidak bimbang’, dan ‘saya cuba melakukan dengan segenap daya yang saya ada’.
Marilah kita mencipta sejarah buat diri kita sendiri dengan membuat anjakan paradigme atau mengubah sikap kita seandainya kita betul-betul ingin mewarnai kehidupan kita dengan warna-warna kejayaan dan kegemilangan.
Sebenarnya, kita adalah apa yang kita fikirkan. Kehidupan kita, kita sendirilah yang mencorakkannya. Kalau kehidupan kita laksana sebuah kenderaan, kitalah yang memandu kehidupan kita sendiri.
Betapa pun kita menginginkan orang lain mengikut kehendak dan kemahuan kita, orang lain tetap orang lain, dan kita tetap kita. Kita yang lebih tahu dan memahmi tentang diri kita dan apa yang kita mahu.
Justeru, akurlah dengan fenomena ini. Belajrlah mencari persamaan dalam banyak perkara yang tidak sama.Kita tidak sama dengan orang lain dan orang lain tidak sama dengan kita. Begitulah uniknya kejadian kita yang Allah tentukan.
Inilah perubahan sikap yang perlu kita ambil sempena semangat peristiwa hijrah dalam sejarah permulaan penyebaran dakwah Islam hampir lima belas kurun yang lalu.
Ainurjah: 20 Sept 2011
Tuesday, September 20, 2011
Pelangi Kejayaan: Prasyarat 4 - Hijrah (290499)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment