Subscribe:

Friday, September 2, 2011

Terakhirkah Pertemuan Ini?

Antara perkara yang paling aku benci dalam hidup ini ialah pertemuan kerana setiap pertemuan pastinya akan berakhir dengan perpisahan. Bagiku, perpisahan adalah sesuatu yang amat menyeksakan.

Hari ini cukup seminggu anakku pulang bercuti sempena Aidilfitri. Ini bermakna bahawa hari ini juga cuti anakku habis. Esok dia akan mula bekerja selepas diberi cuti hanya seminggu. Sudahlah tinggal berjauhan, pulang pun hanya sekali dalam dua tahun. Cuti pula begitu singkat. Tapi, apa hendak dikatakan. Itu adalah peraturan bekerja di negara Jepun. Sukar mendapat cuti. Bukan macam di negara aku. Cuti banyak dan boleh diambil pada bila-bila masa sahaja.

Aku tiba di lapangan terbang Bayan Lepas agak awal kerana penerbangan sambungan ke KLIA ialah pada jam 10.45 pagi. Terasa macam baru sangat aku ke lapangan terbang ini untuk menjemput anakku balik minggu lalu. Tup-tup hari ini aku terpaksa bergegas semula ke sini untuk menghantarnya kembali. Kegembiraan menyambut kepulangan anakku minggu lepas macam baru kelmarin berlalu. Hari ini kegembiraan itu bakal diragut begitu kejam oleh perpisahan yang akan terjadi.

“Ayah! Sepeninggalan Min, ayah jaga diri baik-baik tau. Lutut ayah tu perlu pulih segera. Jangan kerja kuat-kuat sangat. Nanti bertambah-tambah sakit lutut ayah. Jangan lupa makan ubat tau,” pesan anakku penuh sebak ketika tubuhku dipeluk erat.

“Insyallah!…” balas aku dengan nada sedikit tersekat-sekat. “Ayah juga nak pesan pada Min. Hati-hati selalu. Jaga diri baik-baik. Jangan lakukan perkara-perkara terlarang yang menyalahi undang-undang dan peraturan di tempat orang…”

Sebak di dada yang tiba-tiba menyerang menyebabkan aku menelan patah-patah bicara yang berbaki. Tidak tahu kenapa perpisahan kali ini terasa begitu berat sekali. Ketika dia balik bercuti dua tahun lalu, tidak seberat ini yang kurasai semasa menghantarnya pulang.

Suara lunak pembaca pengumuman dari sistem siar raya sedang berkumandang meminta semua penumpang pesawat ke KLIA bersedia di pintu berlepas. Perlahan-lahan, aku melepaskan pelukan anakku. Saat perpisahan yang amat menyakitkan sudah tiba kini tanpa boleh ditahan oleh sesiapa. Pilunya menghiris-hiris tangkal jantungku.
Rasa hiba yang menusuk-nusuk di hati bagaikan mahu memamah seluruh jantungku. Tidak terdaya aku menahan tusukan duri-duri perasaan yang sedang menikam-nikam di lubuk hatiku kini.

Perpisahan adalah hakikat berakhirnya setiap pertemuan. Meskipun pertemuan mampu merawat kerinduan, namun perpisahan adalah natijah kekecewaan yang tertunda. Inilah ketentuan yang pasti. Lantas, bersikap reda dengan suatu ketentuan merupakan pilihan yang terbaik buat mengubat hati yang sedang duka lara.

Lalu, mengiringi keredaan itu sudah tentulah air mata yang berderaian tumpah tanpa dapat dibendung. Begitulah juga perasaan anakku. Sepanjang atur langkahnya menuju ke pintu berlepas, dia kelihatan asyik mengelap air matanya yang turut berderai. Semuanya diperhatikan saja oleh dua orang adiknya yang turut bersama menghantar pulang abang mereka.

Dalam usia yang menjengah di ambang pintu hayat berjaga-jaga seperti yang dipesan oleh Rasulullah, terasa begitu payah aku hendak melepaskan anakku melangkah pergi kali ini. Usia anakku pula sudah menjengah di ambang tiga puluhan. Teman-teman sekolah yang sebaya dengannya sudah banyak yang berkahwin. Paling tidak, mereka sudah pun menimang seorang cahaya mata. Sedangkan anakku masih sendirian terkontang-kanting mengharungi kehidupan jauh di perantauan.

“Min! Bila Min bercadang hendak menamatkan zaman bujang Min?”

Demikian soalan yang pernah aku ajukan pada anakku dua tahun lepas. Ingin bekerja dahulu beberapa tahun adalah alasan yang diberikan waktu itu sebagai pernyataan bahawa anakku belum bersedia lagi hendak mendirikan rumah tangga. Lagipun dia baru saja menamatkan pengajiannya dan baru saja mula bekerja.

Sebagai seorang lelaki, aku faham maksud alasan yang diberikan. Betul juga seperti kata anakku. Kalau belanja sara hidup buat diri sendiri pun belum stabil, macam mana hendak menyara hidup orang lain? Apatah lagi hendak menyara keluarga apabila sudah beranak-pinak nanti. Tambahan pula dalam dunia yang kos kehidupannya semakin meningkat hari demi hari sejak akhir-akhir ini. Lantas, aku akur saja dengan alasan yang diberikan.

Suatu ketika yang telah ditakdirkan pada awal tahun yang lalu, aku berkesempatan berkunjung ke tempat anakku bekerja sekarang. Yokkaichi, begitulah nama bandar di mana dia bekerja selepas tamat belajar di salah sebuah universiti di Shimane.

Waktu itu musim bunga. Anakku sengaja memilih waktu tersebut untuk menerima kunjunganku. Katanya, dia hendak tunjuk betapa indah dan cantik pemandangan di Jepun ketika bunga Sakura berkembang mekar merata-rata. Waktu itulah warga Jepun berkunjung ke setiap lokasi perkelahan dan peranginan di seluruh negara sambil menikmati keindahan alam semula jadi negara mereka.

Sesungguhnya, kunjungan aku selama dua minggu ke negara matahari terbit itu tidak sia-sia. Kata orang, jauh perjalanan, luas pandangan. Banyak perkara yang begitu terkesan di hati kecil ini yang dapat aku bawa pulang. Antaranya ialah kebersihan alam sekitarnya serta ketertiban dan kesopanan rakyatnya ketika memandu di jalan-jalan raya.

Walaupun kehadiran aku hanya sekejap, namun hampir dua ribu kilometer juga aku dibawa menjelajah di sekitar daerah barat daya pulau Honsyu dan sebahagian kawasan utara pulau Shikoku sebelum tiba di rumah kediaman anakku di Yokkaichi. Perjalanan melalui jalan darat itu merakamkan tidak kurang daripada seratus terowong yang dilalui. Itu baru sebahagian saja daripada pulau terbesar itu yang dijelajahi. Belum lagi seluruh negara Jepun. Bayangkan betapa banyaknya terowong yang dibina.

Aku berkesempatan melintasi Jambatan Seto Ohashi yang menghubungkan pulau Shikoku dengan pulau Honsyu dalam daerah Yoshima. Indahnya pemandangan di sekitar jambatan yang terkenal itu tidak terdaya hendak aku gambarkan dengan perkataan.

Sewaktu aku dibawa berjalan-jalan dengan kereta api dari Yokkaichi ke Nagoya, tidak kurang daripada tiga puluh terowong lagi yang kami tempuh. Puas juga aku memikirkan kenapa begitu banyak sekali terowong digali menembusi lereng-lereng bukit sedangkan negara Jepun terletak di kawasan gempa bumi yang aktif. Menurut anakku, terowong dibina kerana ingin mengekalkan bentuk semula jadi bukit-bukau di samping merupakan tempat persembunyian yang strategik jika berlaku peperangan.

Dua minggu melancung ke Jepun begitu pantas masa berlalu. Saat berpisah di lapangan terbang Kansai, rasa sayu dan pilu tiba-tiba mengasak di dada. Hiba juga rasa di hati ini hendak meninggalkan anakku sendirian menunda kerinduan pada kampung halaman semata-mata kerana mencari rezeki di perantauan. Tapi, apa hendak dikatakan. Dalam keadaan kemelesetan ekonomi global begini, tidak terdapat peluang pekerjaan yang secucuk di negara sendiri.

Perpisahan yang sudah berada di ambang waktu kini memusnahkan detik-detik gembira sepanjang masa ketika bersama anakku di Jepun. Pun begitu, aku pasrah dengan ketentuan yang ditakdirkan. Bertemu dan berpisah adalah lumrah bagi aku yang mempunyai tiga orang anak yang sedang menuntut dan bekerja di luar negara.

Setelah pesawat MAS yang dinaiki oleh anakku hilang ditelan awan tebal yang melitupi angkasa, kami pun bergerak perlahan meninggalkan lapangan terbang Bayan Lepas. Semasa pulang, giliran anakku yang seorang lagi pula memandu sementara adiknya berehat kerana sudah memandu semasa datang tadi. Selepas melintasi Jambatan Pulau Pinang dan Tol PLUS di Sungai Dua, aku pun terlelap.
“Tidak ada yang senang kalau kita ingin mendapat haji yang mabrur. Berulang-alik ke Masjidil Haram, susah. Tawaf susah. Sai pun susah. Bermalam di Muzdalifah juga susah. Melontar di Jamrah, lagi susah,” kata ustaz Zainur Rijal sebelum kami melangkah ke Masjidil Haram kerana menunaikan solat zohor berjamaah.

“Tapi ustaz, banyak juga orang yang bercita-cita mendapatkan haji mabrur sedangkan mereka tidak ingin merasai walau sedikit pun kesusahan di Tanah Suci,” balas aku penuh yakin dengan apa yang aku katakan.
“Itu bukan haji mabrur namanya. Tapi, haji malboro,” tambah ustaz secara berseloroh dengan wajah yang sedikit tersengih.

“Ada lagi orang yang datang menunaikan haji dengan harapan hendak mendapatkan haji mabrur sedangkan niat mereka sejak awal lagi bukan ikhlas semata-mata kerana Allah, ustaz.”
“Kalau bukan kerana Allah, kerana apa?”
“Yalah! Ada yang berniat hendak membeli belah. Ada pula yang memasang niat kerana hendak mendapatkan title haji agar dipandang tinggi oleh masyarakat apabila pulang nanti. Mereka itu percaya bahawa dengan mendapat title haji, busines mereka akan lebih menjadi kononnya,” jelas aku, panjang.

“Kalau begitu keadaannya, tambah satu lagi haji yang mereka dapat.”

“Haji apa pula, ustaz?”

“Bukan haji, tapi… aji. Ajinomoto.”

Aku tersenyum mendengar lawak ustaz Zainur Rijal. Kelakar betul ustaz ni, bisik hati kecilku.

“Harap-harap kita dapat haji yang mabrur, ya ustaz! Minta dijauhkan dari mendapat bermacam-macam jenis haji yang ustaz sebut tadi tu.”

Selepas menunaikan solat fardu Asar berjamaah di Masjidil Haram, aku dan ustaz Zainur Rijal melangkah serius dalam perjalanan pulang ke maktab di mana kami ditempatkan.
Ketika berada di Mekah sehari sebelum wukuf, kaki kanan aku mula terasa berdenyut-denyut kerana gaut. Selepas wukuf di Arafah, semasa bermalam sejenak di Muzdalifah, denyutan pada sendi-sendi kaki dan lutut aku semakin menjadi-jadi. Keesokan pagi hari tasyrik pertama dan kedua, aku akan melontar ketiga-tiga jamrah. Kerana uzur, aku dibenarkan melakukan nafar awal dengan menyelesaikan ketiga-tiga lontaran anak batu pada hari tasyrik kedua. Aku tidak boleh lagi berada di Mina pada malam 13 Zulhijah.

Selepas tawaf dan sai yang kemudiannya diikuti dengan bercukur, selesailah ibadat haji yang dikerjakan. Pada hari terakhir berada di Tanah Suci Mekah, dalam keadaan kaki aku yang masih berdenyut-denyut, aku gagahi juga menunaikan tawaf wada’ yang wajib kerana hendak meninggalkan kota Mekah. Semasa menunggu penerbangan di balai berlepas lapangan terbang Jedah, aku tiba-tiba jatuh pengsan.

“Astaghfirullahal’aziim! Bermimpi rupanya aku!”

Aku terjaga semasa anakku membrek dan mematikan enjin kereta di bawah porch hadapan rumah.

“Ayah tertidurkah?” tanya anakku.

“Kita di mana sekarang?” tanyaku, terpinga-pinga.

“Sudah sampai di rumah, ayah!” beritahu anakku.

“Lama juga aku terlelap dalam kereta tadi,” bisik hati kecilku.

Malam itu aku tidak dapat tidur nyenyak. Mimpiku yang ganjil semasa dalam perjalanan pulang siang tadi masih menghantui fikiran. Mimpi itu aku abadikan dalam diari biruku. Kedua bola mataku asyik menyengkang hingga ke pagi hari. Sejak perpisahan kelmarin, hatiku dilanda perasaan duka nestapa.

Hari ini terubat sedikit rasa hati yang walang setelah anakku menelefon memberitahu bahawa dia selamat tiba di rumahnya di Yokkaichi kira-kira pada jam sebelas pagi.
Aku bersyukur pada Ilahi kerana rahmat-Nya yang bercucuran sepanjang perjalanan balik anakku ke destinasi yang dituju.

Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Pejam celek, sudah setahun anakku pulang ke Jepun. Kini aku sedang terlantar di bumi Mekah kerana menunaikan rukun Islam kelima. Aku disahkan sihat wal’afiat oleh doktor dari Lembaga Tabung Haji dan boleh melakukan kerja-kerja haji walaupun aku mengalami tekanan darah rendah sejak sekian lama di samping gaut yang hanya dapat bertahan dengan ubat-ubatan yang terpaksa aku telan.

Sewaktu-waktu aku ada masa lapang, aku menyelak halaman-halaman dalam diari biru yang aku bawa ke mana-mana. Pandangan aku terpaku pada catatan mimpiku setahun lalu semasa menghantar anakku balik ke Jepun.

“Terakhirkah perpisahan ini?”



Nukilan: Ainurjah Tarikh: 5 Oktober 2009

0 comments:

Post a Comment