Subscribe:

Thursday, August 30, 2012

Litar Keempat: Sosial



Litar kehidupan yang sempurna juga memerlukan komponen sosial. Ini bermakna bahawa aspek sosial tidak boleh ditinggalkan jika seseorang itu ingin menikmati sebuah kehidupan yang benar-benar bermakna. Kata pujangga, kambing yang terpisah dari kumpulannya akan dibaham serigala. Ini bermaksud, jika ingin selamat dalam kehidupan ini, saya dan anda haruslah kekal berada dalam kelompok sosial.
Demi mengekalkan diri kita dalam kelompok komuniti di persekitaran sosial dan kerja, saya dan juga anda haruslah sentiasa berusaha mempertingkatkan kemahiran sosial. Di sini, kemahiran sosial yang saya maksudkan termasuklah kebolehan berkomunikasi antara individu, kemampuan bercakap di hadapan khalayak serta kemahiran menjalin hubungan interaktif dengan orang lain.


Mari kita lihat ketiga-tiga aspek kemahiran sosial ini secara lebih khusus. Pertamanya, aspek kebolehan berkomunikasi antara individu. Memperkatakan tentang aspek kemahiran interpersonal dalam ruangan yang terbatas ini sudah tentu tidak mencukupi. Ia mencakupi banyak pecahan juzuk kemahiran yang lain. Namun, biarlah saya katakan di sini bahawa prasyarat kepada kemahiran interpersonal ialah sikap positif atau baik sangka terhadap keadaan dan juga orang lain tanpa syarat, kestabilan emosi dan takat ego yang tidak melampau.
Apakah yang saya maksudkan? Bersikap positif bermaksud berlapang dada, menerima keadaan dan orang lain tanpa syarat, tidak prasangka, bersikap terbuka serta bersedia untuk menerima pandangan orang lain yang berbeza dan bersifat pelbagai. Di samping itu, orang yang bersikap positif sentiasa tidak mudah menghukum orang lain dengan nilai tara sendiri yang bersifat subjektif. Dia sering bermuhasabah diri berkenaan nilai-nilai yang dipegangnya serta berusaha memperkukuhkan nilai-nilai yang baik di samping mengubah suai mana-mana nilai yang tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.
Kestabilan emosi pula merujuk kepada keadaan emosi yang tidak begitu mudah diganggu-gugat oleh sebarang keadaan yang tidak terduga. Contohnya, semasa berkomunikasi, kemungkinan akan wujud situasi yang kurang menyenangkan apabila pendapat atau idea kita tidak dipersetujui. Orang yang mempunyai emosi yang stabil tidak akan mudah melenting dengan menunjukkan memek muka atau gelagat luar biasa.
Sementara takat ego yang tidak melampau pula merujuk kepada keadaan ego yang berada di tahap terendah. Maksudnya, semasa sedang berkomunikasi dengan orang lain, kita sedia mengenepikan rasa hebat atau kagum diri, bangga diri, sombong dan bongkak. Perasaan ‘saya tahu semua’ dan ‘kamu tidak tahu apa-apa’ haruslah dihindarkan jauh-jauh ketika kita sedang berinteraksi dengan orang lain. Di tahap ini, kemahiran mendengar dan kemahiran empati amat penting dipraktikkan.
Apakah yang saya maksudkan dengan kemahiran mendengar dan kemahiran empati itu? Tunggu hadirnya episod yang akan datang di mana saya akan cuba bicarakan kemahiran-kemahiran tersebut di bawah tajuk besar ‘Kemahiran Interpersonal’. Sementara itu, kita ada dua lagi aspek yang perlu disentuh dalam kemahiran sosial iaitu kemahiran bercakap di khalayak dan kemahiran menjalin hubungan interaktif dengan orang lain. Kedua-duanya akan saya sentuh dalam entri yang akan datang, insyallah!
Sementara itu, diharap anda kekal bersama saya melalui medan interaksi kita dalam blog saya ini. Saya sedia menerima komen serta apa-apa pandangan yang membina daripada anda semua.

Sekian. Wallahu’alam!



0 comments:

Post a Comment