Friday, August 31, 2012
Kemahiran Interpersonal
Jika anda taip ‘Kemahiran Interpersonal’ atau ‘Interpersonal Skills’ untuk membuat pencarian dalam internet, pasti anda akan berjumpa bermacam-macam artikel mengenainya. Justeru, anda akan perolehi pelbagai pengetahuan, dan maklumat tentang perkara tersebut. Hal ini akan memudahkan saya bercakap tentang tajuk di atas kerana saya tidak akan mengulang sebut apa-apa yang telah dipaparkan dalam artikel-artikel tersebut.
Maksud saya, apa yang bakal saya paparkan dalam tulisan ini ialah sesuatu yang mudah, tidak terlalu akademik dan boleh dipraktikkan. Bukankah itu yang anda mahu kan?
Sesungguhnya, kemahiran interpersonal ialah suatu aspek kemahiran yang penting dalam konteks hubungan sosial kita setiap masa. Pun begitu, banyak orang yang mengambil sikap tidak berapa ambil kisah tentang hal ini. Sikap begini adalah punca penyakit dalam diri yang boleh membawa kepada kegagalan mencapai sesuatu matlamat kejayaan kerana kejayaan kita bertitik tolak dari komunikasi yang berkesan.
Cuba bayangkan diri anda yang kurang mahir berkomunikasi dengan orang lain, tentunya anda akan mengalami situasi yang sukar untuk memahamkan orang lain tentang apa yang ingin anda katakan. Anda juga akan mengalami kesukaran memahami apa yang orang lain cuba sampaikan.
Bayangkan, semasa anda sedang berkomunikasi dengan orang lain, terdapat terlalu banyak halangan komunikasi. Faktur kesihatan, sikap prajudis, kewujudan keadaan blok mental, sikap negatif, mudah menghukum, memandang rendah serta hilang kepercayaan terhadap orang lain adalah antara penghalang paling kuat semasa berkomunikasi.
Faktur-faktur dalaman ini tidak seharusnya wujud semasa anda sedang berkomunikasi dengan individu lain. Pastikan diri anda dan juga diri orang yang anda lawan bercakap itu dalam keadaan sihat; sihat fizikal dan juga sihat mental serta emosi, semasa berkomunikasi. Faktur terlalu kenyang atau lapar serta keadaan mengantuk juga boleh mempengaruhi keberkesanan komunikasi anda.
Menambah terhalang lagi proses komunikasi interpersonal anda ialah faktur-faktur luaran yang lain seperti persekitaran komunikasi yang terlampau panas atau sejuk, terlalu bising atau terlalu sunyi sepi seperti di atas kubur. Sudah tentu suasana seperti itu begitu menyeramkan anda yang boleh menghilangkan tumpuan anda dalam komunikasi. Satu lagi, jika sesi komunikasi itu terjadi dalam satu persekitaran yang berbau busuk serta jijik mata memandang seperti di tepi longkang saluran najis, pastinya fokas terhadap buah bicara anda juga akan terganggu.
Dalam perjumpaan yang akan datang, saya akan cuba bicarakan keberkesanan komunikasi dari sudut yang lain pula seperti penggunaan bahasa dan gaya berkomunikasi yang mampu menarik perhatian orang lain di samping penggunaan pelbagai teknik penyampaian isi percakapan atau perbualan.
Mudah-mudahan anda sabar menunggu. Wallahu’alam!
Labels:
kaunseling,
rencana
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment