Subscribe:

Monday, September 10, 2012

Kisah Profesor Dengan Budak Sampan


Sedikit masa dahulu, saya pernah bercerita dalm blog saya ini perihal kisah seekor ayam jantan dan kerbau jantan. Pengajaran yang kita perolehi dari kisah tersebut ialah orang hebat tidak boleh melihat dirinya sempurna. Sebagai manusia biasa kita tidak pernah sunyi dari sifat-sifat kekurangan dan kelemahan. Kali ini saya ada satu lagi kisah tentang orang yang selalu merasakan dirinya hebat akhirnya terkorban di laut semata-mata kerana tiada kemahiran berenang.


Pada suatu hari, seorang profesor dari sebuah universiti ingin membuat kajian di sebuah pulau bernama Pulau Banggi dalam daerah Kudat. Oleh sebab masalah pengangkutan, beliau tiba di jeti agak terlewat. Waktu lepas Asar. Suasana di jeti agak lengang. Ya la! Mana ada orang hendak ke pulau terpencil itu lagi ketika hari sudah menghampiri malam.
Semasa dia sedang meninjau-ninjau di kawasan jeti itu, tiba-tiba ia ternampak seorang budak tanpa berbaju sedang mengurus sampannya.
“Hai, budak! Boleh bawa aku ke pulau tu tak?” jerit profesor, kuat.
“Boleh, tuan! Bawa sampan memang kerja saya, tuan!” balas budak sampan.
Tanpa berfikir panjang, profesor pun menapak masuk ke dalam sampan. Setelah profesor mendapatkan kedudukannya yang stabil, budak sampan pun mula mendayung sampannya menghala ke pulau.
“Bolehkah aku sampai ke pulau dengan sampan kolek begini? Budak pula tu yang mendayungnya,” bisik hati kecil profesor, penuh ragu dan bimbang.
Itulah! Masa tadi tak nak fikir habis-habis. Kalau tidur dulu kat pekan Kudat tu kan bagus. Bukan tidak ada hotel di sana. Pagi-pagi esok barulah pergi ke pulau. Kenapa kalut sangat? Itulah! Profesor pun kadang-kadang pendek akal juga. Sekarang ni, profesor dah boleh buat apa-apa lagi. Sudah pun berada dalam sampan. Tak boleh nak berpatah balik lagi. Teruskan sajalah ke pulau tu bersama budak sampan yang sekian lama buat kerja mengangkut penumpang dengan sampannya.
“Tuan nak buat apa di pulau tempat jin bertendang sana tu?” tanya budak sampan, berani setelah melihat wajah profesor sedikit sugul.
“Hai, budak! Kau buat apa nak tahu kerja aku?” balas profesor, angkuh.
Budak sampan terkedu. Sombong sungguh orang ni, getus hati kecil budak sampan. Baru tanya sikit pun tak boleh ke?
“Hai, budak! Kamu tak sekolah ke?” tanya profesor.
“Dulu sekolah. Tak sempat habis Tahun Dua pun. Lepas tu, berhenti. Ayah tak mampu.”
“Jadi, kamu tak boleh membaca la?” sambar profesor.
“Tak! Cuma boleh sikit-sikit saja,” jawab budak sampan.
“Habis seperempat umur hidup kamu,” kata profesor.
Budak sampan berhenti seketika mendayaung sampannya sambil memikirkan apa maksud profesor yang kurang difahaminya.
“Menulis, macam mana?” soal profesor lagi.
“Boleh sikit-sikit juga.”
“Habis seperempat lagi umur hidup kamu,” beritahu profesor.
Budak sampan kelihatan mengira-ngira dengan jarinya sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Mengira?” sambung profesor.
“Langsung tak tahu.”
“Habis seperempat lagi umur hidup kamu.”
Malas berfikir, budak sampan mendayaung sampannya laju. Dikumpul segenap kudratnya yang tidak seberapa itu untuk meredah laut yang kian beralun. Menurut pengalaman budak sampan, laut akan bergelora dalam masa terdekat kerana angin sudah mula bertiup. Wajah profesor nampak sedikit cemas.
Seketika, langit tiba-tiba mendung. Ombak laut semakin beralun. Hujan renyai-renyai mula turun. Wajah profesor nampak semakin cemas. Sampan mula dilambung ombak yang kian mengganas.
“Tuan boleh berenang tak?” tanya budak sampan, selamba.
“Manalah aku tahu berenang!” jawab profesor.
“Habis seluruh hidup profesor,” kata budak sampan sebelum dia terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan dirinya.
Kasihan profesor yang sudah tidak kelihatan lagi ketika sampan terbalik dengan perutnya ke atas.

0 comments:

Post a Comment