Subscribe:

Monday, October 5, 2009

Balik Kampung


Hari ini sudah 16 Syawal. Sudah lebih separuh Syawal kita lalui. Anda masih dalam mood hari rayakah? Betapa pun diusahakan, Aidilfitri tetap meninggalkan kita. Itulah kelemahan manusia yang paling ketara; tidak mampu menahan peredaran waktu. Jangankan menahan, melambatkannya pun tidak berupaya kita lakukan. Justeru, jika kita mampu buat macam-macam, jangan sekali-kali kita sombong dengan Allah. Akuilah hakikat bahawa kita ini makhluk yang terlalu kerdil dan lemah. Lebih lemah daripada seekor nyamuk yang mampu membunuh.
Bercakap tentang hari raya, pernahkah anda terfikir kenapa orang suka balik kampung ketika cuti raya? Tinggal berjauhan macam mana sekalipun orang berusaha juga untuk balik kampung pada hari raya. Kecualilah kalau kita sedang berada di satu tempat yang terlalu jauh sehingga memakan masa yang lama dan kos yang tinggi untuk pulang. Itu pun mereka teringat juga hendak balik kampung walaupun fizikal mereka berjauhan. Minda dan hati mereka tetap pulang ke kampung juga. Contohnya, orang-orang yang sedang bertugas atau menuntut di luar negara.
Saya fikir pasti ada sesuatu kuasa atau daya yang menarik kita untuk pulang ke kampung. Justeru, kali ini bicara saya ialah tentang hubung kait antara aspek psikologi dan alam sekitar. Sedarkah anda bahawa terdapat hubungan yang kukuh antara emosi dan perasaan kita dengan alam sekitar di mana kita dibesarkan.
Dalam ilmu psikologi, terdapat satu terma yang dipanggil waktu kritikal (critical period) yang berlaku kepada semua insan dan juga haiwan di mana pada peringkat umur itu, sesuatu perlu dipelajari atau diperolehi dan dikuasai. Jika apa yang perlu dipelajari dan dikuasai itu tidak berlaku, maka masalah akan timbul dalam hidup orang itu di kemudian hari. Demikian sedikit apa yang saya faham dengan istilah waktu kritikal itu.
Apakah kaitannya antara waktu kritikal dalam proses tumbesaran dan perkembangan hidup manusia dengan tingkah laku balik kampung? Di sinilah saya cuba mengaitkan hubungan antara faktur kesan emosi dengan pengalaman hidup yang kita perolehi dari persekitaran semasa proses pembelajaran berlaku.
Sebab itulah betapa jauh pun kita merantau atau betapa lama pun kita meninggalkan kampung halaman kita, pasti kita akan kembali juga ke kampung terutama pada waktu-waktu di mana kita ingin mengulang kembali pengalaman beremosi kita yang telah kita lalui di peringkat awal hidup kita. Ketika itu, kampung halaman kitalah yang menjadi tarikan paling kuat dalam diri kita.

0 comments:

Post a Comment