Subscribe:

Saturday, September 24, 2011

Pelangi Kejayaan: Prasyarat 5 - Berani (Siaran ditunda)

Berani merupakan prasyarat kejayaan seterusnya (sempena warna pelangi kelima iaitu biru). Menurut Kamus Dewan (Ed. 3, 1996), berani bermaksud gagah, tidak takut dan bukan pengecut. Beberapa ciri lain yang berkaitan dengan sifat berani ialah kuat, sanggup hadapi cabaran, tidak takut ambil risiko, tidak peduli apa orang lain kata, yakin diri, percaya pada kebolehan diri sendiri di samping mempunyai konsep kendiri positif dan estim kendiri tinggi.


Sifat berani kerana benar demi mempertahan maruah atau harga diri boleh menyebabkan manusia sanggup berjuang habis-habisan dan bekorban apa saja. Jika kita mempunyai sesuatu citi-cita atau matlamat hidup yang jelas atau sesuatu kejayaan yang ingin dicapai, sifat berani paling perlu.

Orang-orang yang berani sekaligus tidak akan mengalami penyakit T2M. Apakah penyakit T2M itu? Penyakit merbahaya ini ialah Takut, Malu dan Malas. Jika kita seorang yang berani, sudah tentu kita tidak takut atau malu apatah malas melakukan apa saja.

Orang yang berani sentiasa terhindar dari sembilan perangkap minda yang berjenama TIDAK iaitu tidak suka, tidak minat, tidak tahu, tidak mahu, tidak yakin, tidak boleh, tidak penting, tidak berani dan tidak mungkin.

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman dengan anda tentang sekelumit kisah hidup rakan saya bernama Mohd Berani. Dia asalnya seorang guru sambilan biasa lulusan SPM . Pada suatu hari, dia datang berjumpa saya lalu meluahkan rasa tidak minatnya terhadap pekerjaannya sekarang.

Selepas berbincang dalam sesi yang agak panjang, saya menasihatkannya agar berhenti kerja dan buat kerja yang lebih dimiantinya. Pada pendapat saya, jika ia terus melakukan kerja yang tidak dimanitinya, dia bukan saja merusakkan dirinya sendiri, malah lebih teruk lagi, merusakkan hidup insan-insan lain yang tidak berdosa.

Mohd Berani terlalu akur dengan pandangan saya, dan dia mengambilnya sebagai satu perkara yang amat sesrius. Lantas dia menamatkan riwayat hidupnya sebagai guru sambilan lalu melamar kerja sebagi buruh kasar di kapal. Semasa bekerja sebagai buruh kapal inilah Mohd Berani mengambil kesempatan menjelajah ke negara jiran.

Dengan sedikit wang simpanan yang terkumpul selama lima tahun bekerja di kapal, Mohd Berani memberanikan dirinya membeli segala barang yag berkaitan dengan ibadah sembahyang seperti sejadah, telekung, tasbih, ketayap dan sebagainya.

Barang-barang itu dibawanya pulang lalu ditunjukkan kepada peniaga-peniaga kecil yang berminat, mula-mulanya di sebuah pusat perniagaan orang-orang Islam yang terkemuka di bandar Alor Setar.

Pada mulanya, teruk juga Mohd Berani memikul barangannya itu dari sebuah kedai ke sebuah kedai. Diringkaskan cerita, kini Mohd Berani tidak bekerja sebagai buruh kapal lagi. Beliau sudah membuka syarikat pengedar barang-barang serta peralatan sembahyang dan kerja haji di Pulau Pinang.

Nampaknya, perniagaan Mohd Berani semakin berkembang dan berjaya dengan menerima tempahan daripada peniaga-peniaga di kawasan Utara Semenanjung. Begitulah kisah perjuangan hidup Mohd Berani yang telah berani mencuba nasib dalam bidang yang diminatinya selama ini. Tidak sia-sia saya menyuruh dia berhenti menjadi guru sambilan itu.

Kesimpulannya, kalau kita berani, kita hampir boleh melakukan apa saja yang berguna untuk diri sendiri dan juga orang lain. Harapan saya, semoga kita menjadi lebih berani mulai hari ini dengan mengorak langkah pertama dalam perjalanan beribu batu menuju ke puncak jaya. Amin!

Ainurjah: 24 Sept 2011

0 comments:

Post a Comment