Subscribe:

Wednesday, September 28, 2011

Pelangi Kejayaan: Prasyarat 6 - Ikhtiar (270599)

Mengambil sempena warna pelangi yang keenam iaitu indigo, marilah kita lihat prasyarat kejayaan seterusnya yang saya namakan sebagai ikhtiar. Di samping matlamat, jangkaan , kerja keras, hijrah dan berani, usaha meniti tangga kejayaan juga haruslah disertakan dengan ikhtiar.

Dengan akal yang dikurniakan oleh Allah SWT, kita harus berikhtiar sepanjang masa dan berfikir setiap ketika bagaimana kita memperolehi jalan-jalan yang boleh membawa diri kita ke puncak kejayaan yang diidamkan.




Orang yang sentiasa berikhtiar akan menggunakan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimilikinya serta segala bakat dan kebolehan yang ada padanya untuk mengarah seluruh anggota badannya menuju kejayaan. Berdoa juga merupakan sebahagian daripada ikhtiar.

Ketika ini, teringat saya akan satu kisah yang diceritakan kepada saya oleh seorang tua yang pergi memburu di hutan. Oleh sebab kelalaian diri sendiri orang tua telah terjatuh ke dalam sebuah perigi buta (perigi lama yang sudah kering).

Walaupun perigi itu agak dalam juga, namun orang tua itu terselamat dari sebarang kecederaan kerana ia terjatuh di atas segala sampah sarap serta daun-daun kering di dasar perigi. Reaksi spontan orang tua itu ketika tiba di dasar perigi ialah menjerit sekuat hatinya sambil meminta pertolongan.

Puas sudah dia menjerit, namun tiada seorang pun yang datang membantu. Selepas hampir sejam dia menjerit, barulah dia perasan dia berada di tengah-tengah hutan rimba. Orang tua itu hampir-hampir berputus asa.

Sekonyong-konyong, dia terfikir bahawa kalau dia tidak buat sesuatu selain menjerit, pasti dia terpaksa bermalam di tengah-tengah hutan sendirian. Bagaimana agaknya kalau hujan lebat tibi-tiba turun. Pasti dia akan mati lemas dalam perigi itu tanpa dapat dikesan oleh sesiapa.

Takut menghadapi masalah lebih besar, akalnya mula berfikir. Akhirnya dia mendapat satu idea bagaimana hendak naik ke atas dengan menggunakan akar-akar pokok yang bergayutan di dinding perigi itu.

Spontan, beliau menyambar sulur-sulur akar yang berjuntaian lalu dengan segenap tenaga dan kudrat yang dimiliki, dia berpaut-lepas, berpaut-lepas dengan kedua-dua tangannya secara bergilir-gilir sambil kakinya digunakan untuk melonjakkan badannya ke atas ala memanjat tebing bukit yang curam dengan menggunakan tali.

Betapa leganya hati orang tua kerana dapat tiba di atas dengan selamat menjelang petang. Setelah tiba di atas, beliau semacam tidak percaya bahawa dia boleh keluar dari perigi yang dalam itu tanpa bantuan daripada sesiapa.

Begitulah sebuah kisah untuk kita jadikan iktibar dalam kehidupan kita.
Cuba kita fikirkan, kenapakah orang tua itu boleh timbul idea untuk menyelamatkan dirinya di tengah hutan itu? Puncanya ialah apabila kita berada dalam keadaan terdesak dan tidak selamat, kita akan mula berfikir bagaimana hendak menyelamatkan diri kita.

Justeru, cadangan saya ialah agar kita sentiasa berfikiran ‘belum selamat’ dalam hidup ini agar kita akan sentiasa berikhtiar dengan segenap daya upaya kita untuk melakar kejayaan demi kejayaan dalam hidup yang sementara ini.
Wallahu’alam!

Ainurjah: 28 Sept 2011

0 comments:

Post a Comment