Subscribe:

Monday, October 3, 2011

Pelangi Kejayaan : Prasyarat 7 - Ulang (100699)

Setelah membicarakan enam warna pelangi iaitu merah, jingga, kuning, hijau, biru dan indigo untuk matlamat, jangkaan, kerja keras, hijrah, berani dan ikhtiar, mari pula kita bicara tentang prasyarat ketujuh iaitu ‘ulang’ dengan mengambil sempena warna pelangi yang terakhir iaitu ‘ungu’.

Kejayaan akan lebih mudah dicapai jika kita rajin mengulangi kerja-kerja yang kita laksanakan saban masa. Apabila kita sentiasa mengulangi kerja buat kita selalu, kita akan jadi lebih mahir dan cekap.



Seorang pelajar yang rajin mengulang kaji pelajaran sudah pasti akan lebih mengingati apa-apa saja ynag dipelajarinya. Isi pelajaran yang jarang-jarang sekali dibuat ulang kaji akhirnya akan mudah reput dalam ingatan.

Pelajar yang tidak konsisten dalam membuat ulang kaji akan menghadapi masalah akademik. Salah satu masalah pembelajaran ialah tidak dapat mengingat atau mudah lupa akan isi pelajaran yang telah dipelajari. Kesimpulannya, jika pelajar ingin berjaya dalam pelajarannya, ia haruslah sentiasa tekun membuat ulang kaji.

Tahukah saudara bagaimana seseorang pekerja boleh jadi mahir dan cekap dalam bidang pekerjaan yang diceburinya? Jawapannya ialah pekerja tersebut sentiasa melakukan kerja yang sama berulang kali tanpa jemu dan bosan. Semasa mengulang-ulang melakukan sesuatu kerja atau tugasan, kita akan cuba mengatasi segala kelemahan dan kecacatan.

Mengulang-ulang melakukan kerja yang sama akan memberi kita peluang befikir secara kreatif untuk mencari jalan bagaimana kerja itu dapat disempurnakan dengan cara yang lebih tepat dan cekap demi peningkatan kualiti hasil kerja yang diingini.

Sebagai contoh, saya pernah melihat seorang peniaga buah limau bali di Tambun, Ipoh yang boleh mengupas sebiji limau seberat 1.5 kg dalam masa tidak sampai 50 saat. Begitu juga seorang buruh binaan dapat menaikkan dinding konkrit daripada bata yang berukuran 1 m tinggi dan 3 m panjang dalam tempoh tidak sampai 30 minit.

Sebenarnya, orang-orang yang sudah sampai ke tahap mahir dan cekap menggunakan semua pancaindera mereka secara optimum dan berkesan. Tahap ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa pengulangan yang dibuat secara konsisten.

Akhir kata, jika kita ingin berjaya melakukan sesuatu dengan mahir dan cekap, amalkan perbuatan mengulang-ulang melakukan kerja secara istiqamah. Wallahu’alam.

Ainurjah: 03 Sept. 2011

0 comments:

Post a Comment