Friday, August 31, 2012
Litar Kelima: Kegemaran
Kegemaran atau hobi merupakan sesuatu yang kita suka buat dengan kerelaan hati sendiri tanpa dipaksa. Kata pendita motivasi, kebahagiaan hidup boleh dicapai jika anda mempunyai tiga perkara berikut iaitu seseorang atau sesuatu yang kita sayangi, sesuatu yang kita suka buat dan sesuatu yang kita harapkan. Di sini jelas menampakkan kepada kita bahawa salah satu cara untuk mencapai kebahagiaan dan kegembiraan dalam hidup di dunia ini ialah melalui sesuatu kegemaran yang kita miliki.
Jika kita gemar melakukan sesuatu perkara, sudah tentu kita akan menggunakan setiap detik masa lapang kita untuk melakukan perkara tersebut. Meskipun kita sibuk dengan tugas-tugas harian yang perlu kita lakukan buat menyara hidup kita, kita akan cuba seberapa daya untuk mencari masa kerana ingin melaksanakan apa yang kita gemar melakukan.
Contohnya, jika anda gemar memancing, asalkan tiba hujung minggu saja pasti anda akan rasa gelisah kalau anda tidak keluar memancing. Jika anda seorang suami dan bapa kepada anak-anak anda, anda akan memberikan pelbagai alasan kepada isteri dan anak-anak anda untuk merasioanlkan kenapa anda perlu keluar memancing bersama kawan-kawan yang seminat dengan anda.
Orang-orang yang suka memikat burung juga akan melakukan perkara yang sama, bahkan lebih teruk lagi daripada orang yang suka memancing. Kadang-kadang alasan yang mereka berikan tidak masuk akal sama sekali. Sebenarnya, mereka tidak berapa ambil kisah sangat tenang hal itu. Apa yang penting bagi mereka ialah dapat keluar memenuhi tuntutan hobi mereka. Maka tinggallah isteri dan anak-anak tanpa suami dan bapa setiap hujung minggu sendirian di rumah semata-mata kerana bersimpati dengan suami dan bapa yang berminat memikat burung.
Perlu diingat bahawa, walaupun tuntutan melaksanakan sesuatu perkara yang kita gemar adalah salah satu cara yang boleh membawa kita mencapai kegembiraan dan kebahagiaan buat diri kita sendiri, namun kebahagiaan yang kita kecapi tidak bermakna apa-apa jika orang lain tidak bahagia. Apatah lagi jika orang-orang yang tidak bahagia itu ialah mereka yang signifikan dalam hidup kita seperti ahli keluarga kita dan sebagainya. Kita tidak sedar bahawa semasa kita begitu asyik melakukan perkara-perkara yang kita gemar, pada masa yang sama kita sedang berlaku zalim pada orang lain. Nauzubillah!
Wallahu’alam!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment