Subscribe:

Monday, September 3, 2012

Litar Keenam: Akhlak


Akhlak merupakan kemuncak perjuangan hidup manusia sejagat. Akhlak yang paling mulia dan tinggi ialah rasa takut pada Allah Yang Maha Agung. Tanpa perasaan tersebut, manusia masih dianggap tidak berkahlak. Sebenarnya, persoalan akhlak dan makhluk ada kaitannya dengan Khalik iaitu Tuhan yang menjadikan segala-galanya dalam alam cakerawala ini. Ketiga-tiga perkataan itu terbina atas huruf-huruf dasar yang sama iaitu ‘kha’, ‘lam’ dan ‘qauf’.


Tanpa akhlak, tamadun kemanusiaan akan runtuh. Sejarah telah membuktikan bagaimana tamadun-tamadun besar dan hebat sejak zaman dahulu kala lagi runtuh kerana tidak dibina atas dasar akhlak kemanusiaan. Tamadun Kaum Thamud yang boleh memahat bukit dan gunung untuk membina istana dan tempat kediaman serta tamadun Mesir di bawah pemerintahan Firaun dengan pembinaan pyramid yang begitu mengagumkan akhirnya hancur juga kerana raja dan rakyat kerajaan-kerajaan tersebut rendah akhlak.

Di sini kita dapat melihat betapa tingginya nilai akhlak bagi manusia yang dijadikan Tuhan untuk memimpin dunia ini. Sebagai khalifah, manusia haruslah mempunyai akhlak yang mulia lagi murni. Jika tidak demikian, banyak kerusakan akan terjadi di atas muka bumi ini yang akhirnya akan menjejaskan kehidupan manusia itu sendiri.

Sesungguhnya, segala kerusakan yang terjadi di atas dunia ini adalah disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia sendiri. Jika kelompok manusia yang diberi kuasa, yang dikenal sebagai pemimpin, bankerap akhlak, maka tunggulah akan berlakunya kerusakan dan kemusnahan kepada kehidupan manusia itu sendiri.

Justeru, saya ingin mengajak diri saya sendiri serta diri pembaca sekalian, marilah bersama kita berusha membina akhlak kemanusian yang luhur lagi mulia agar hidup kita terhindar dari kemurkaan Tuhan. Sesungguhnya kemurkaan Tuhan boleh mengundang mala petakan dan mara bahaya yang tidak terduga oleh pemikiran manusia. Allah dengan sifat Maha Agung dan Maha Gagah boleh melakukan apa sahaja terhadap golongan manusia yang ingkar dan tidak takut pada-Nya. Nauzubillah!


Wallahu’alam!


0 comments:

Post a Comment